Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella, dalam perutusan tahunannya “Looking Ahead to 2026”, menggariskan visi tahun 2026 akan menjadi titik peralihan penting bagi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Beliau menegaskan industri kini sedang bergerak melangkaui fasa penemuan awal menuju ke arah penyebaran meluas. Tumpuan utama adalah membezakan antara keupayaan teknologi untuk tontonan semata-mata dengan untuk nilai sebenar.

Nadella menyentuh mengenai kritikan yang sering dilemparkan terhadap kandungan janaan AI sebagai “slop” atau bahan berkualiti rendah.

Beliau menyeru agar perbincangan beralih dari “slop lawan kecanggihan” kepada penerimaan AI sebagai alat penguat kognitif (“cognitive amplifier tools”) yang membantu potensi manusia.

Dalam tulisannya, Nadella mengakui bahawa untuk teknologi ini diterima sepenuhnya oleh masyarakat, ia perlu membuktikan impak nyata di dunia sebenar.

“Kita perlu membuat pertimbangan dalam memilih bagaimana memanfaatkan teknologi ini di dunia sebagai penyelesaian cabaran yang dihadapi orang ramai dan juga planet,” jelas Nadella.

“Untuk AI diterima masyarakat ia perlu mempunyai penilaian impak dunia sebenar,”

Usaha mendapatkan kepercayaan masyarakat

Antara intipati utama mesej Nadella untuk 2026 termasuk:

  • Peralihan Fasa: Bergerak daripada fasa penemuan (“discovery”) kepada penyebaran meluas (“widespread diffusion”).
  • Fokus Nilai: Membezakan antara gembar-gembur pemasaran (“spectacle”) dengan kegunaan praktikal (“substance”).
  • Integrasi Sistem: Peralihan daripada penggunaan model bahasa semata-mata kepada sistem kejuruteraan canggih yang menyelesaikan masalah nyata.
  • Izin Masyarakat: Mendapatkan kepercayaan publik melalui bukti keberkesanan dan nilai tambah yang jelas, bukan sekadar janji teknologi.

Walaubagaimanapun, kenyataan ini hadir ketika Microsoft sendiri berdepan kritikan mengenai integrasi Copilot yang dianggap sesetengah pihak sebagai kurang berkualiti atau dipaksakan dalam ekosistem Windows.

Nadella menekankan bahawa kejuruteraan yang canggih diperlukan untuk mencari nilai sebenar AI, menolak tanggapan bahawa AI hanya akan menggantikan manusia, sebaliknya bertindak sebagai “perancah” (scaffolding) untuk menyokong kebolehan manusia.

Tahun 2026 dilihat sebagai tempoh ujian kritikal sama ada integrasi AI mampu memenuhi janji produktiviti tersebut atau kekal dilabel sebagai “slop” oleh pengguna umum.

Tinggalkan komentar