CelcomDigi Berhad hari ini melancarkan aplikasi mudah alih baharu yang menggabungkan Celcom Life dan MyDigi dalam satu platform bersepadu, menandakan kejayaan kritikal dalam penyatuan jenama sejak penggabungan tiga tahun lalu.

Aplikasi CelcomDigi yang dibangunkan dengan kepakaran dalaman ini menawarkan pengalaman digital diperibadikan dengan sokongan kecerdasan buatan (AI) untuk lebih 20 juta pelanggan di seluruh negara.

Aplikasi baharu ini direka berdasarkan pandangan pelanggan dan diuji oleh lebih 100,000 penguji beta sebelum pelancaran. Ia menyokong kedua-dua pelanggan prabayar dan pascabayar dengan antara muka yang selamat, intuitif dan mudah digunakan, merangkumi pengurusan talian, perkhidmatan tambah nilai, sokongan pelanggan dan ganjaran.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty berkata, peluncuran ini merupakan komitmen syarikat yang berpaksikan pelanggan sepenuhnya. “Aplikasi baru ini menggabungkan ciri-ciri terbaik kedua-dua aplikasi sedia ada, dengan ciri perkhidmatan terbaru, dilapisi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi sokongan dan keselamatan,” katanya.

Tiga Tema Utama

Aplikasi ini dibentuk mengikut tiga tema utama. Tema Keselesaan Harian menawarkan ciri ‘Semuanya Dalam Satu’ yang membolehkan pengguna mengurus beberapa talian dengan lancar, serta ‘Auto-Reload Magic’ yang memastikan talian prabayar kekal aktif tanpa gangguan.

Tema Gaya Hidup Digital Disiap Bina pula merangkumi perkhidmatan hiburan bertaraf dunia seperti Disney+ dan Viu, pelancongan pintar melalui penempahan perantauan yang boleh diaktifkan segera sewaktu tiba di destinasi, serta ciri keselamatan termasuk log masuk biometrik dan eKYC.

Manakala tema Mencipta Detik-Detik Gembira mempunyai sokongan pelanggan menerusi AI-RA, aktiviti interaktif harian ‘Daily Streak’, cabaran tujuh hari untuk mendapat ganjaran, serta hadiah kejutan setiap Rabu melalui ‘3-2-1 Surprise’. Ciri ‘For You’ memperibadikan pengalaman dengan memahami sifat pengguna dan menawarkan saranan mengikut minat peribadi berdasarkan pilihan dan penggunaan mereka.

Aplikasi ini menyediakan akses terus kepada laman Keselamatan yang memberikan peralatan dan pengetahuan praktikal bagi melindungi diri dalam talian, termasuk saluran melaporkan insiden penipuan dengan segera. CelcomDigi turut menawarkan langganan MobileSHIELD pada RM4 sebulan yang memberi pertahanan terhadap penipuan, aplikasi hasad dan ancaman privasi.

Produk keselamatan lain yang ditawarkan termasuk WebSHIELD, eSIM dan Private SIM, sebagai sebahagian daripada komitmen CelcomDigi mencipta persekitaran selamat untuk pelanggan.

Tawaran Pelancaran

Sebagai promosi pelancaran, CelcomDigi menawarkan pas data 100GB pada harga RM1 untuk sekali pembelian, terhad kepada satu juta pas. Kadar istimewa penstriman hiburan turut disediakan, termasuk Disney+ (Basic) pada RM12.90 sebulan, Disney+ (Premium) pada RM27.90 sebulan, dan Viu pada RM3.90 sebulan.Press-Release-_-CelcomDigi-app-brings-personalised-connectivity-to-life-for-Malaysians.pdf

Pelanggan pascabayar pula menerima perkhidmatan perantauan dan panggilan antarabangsa (IDD) percuma selama 12 bulan.

Pengguna sedia ada Celcom Life dan MyDigi digalakkan bertukar kepada aplikasi CelcomDigi dengan segera kerana kedua-dua aplikasi lama akan ditamatkan perkhidmatan pada 31 Disember 2025. Aplikasi baharu boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store mulai hari ini.

Peluncuran aplikasi ini memperkukuhkan penyatuan jenama CelcomDigi yang telah mencapai kejayaan mantap dalam menghasilkan jenama tunggal merentasi penawaran produk, perkhidmatan dan titik interaksi runcit, disokong oleh rangkaian terluas, terpantas dan terlindung di Malaysia.

Tinggalkan komentar