Penggunaan internet sepanjang tahun 2021 telah memperlihatkan angka yang tinggi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hal ini menyebabkan lebih ramai pengguna berada di kediaman masing-masing sebagai langkah pencegahan penyebaran wabak pandemik.
Urusan harian rakyat telah banyak beralih ke dalam talian sepanjang tahun tersebut. Liputan akses ke internet sudah menjadi satu keperluan wajib bagi majoriti penduduk di Malaysia.
Atas sebab itu, pada tahun 2021 juga SKMM telah menerima jumlah aduan yang amat tinggi melibatkan masalah liputan penerimaan rangkaian dari syarikat telekomunikasi masing-masing. Bulan Jun, Julai dan Ogos mencatatkan angka aduan tertinggi sepanjang tahun tersebut secara spesifiknya kerana PKP 3.0 mula dikuatkuasakan.
Berdasarkan pecahan mengikut syarikat telekomunikasi, Celcom dicatatkan sebagai paling banyak menerima aduan berkaitan dengan masalah rangkaian. Ini diikuti oleh Maxis, Digi dan juga U Mobile. Kesemua syarikat-syarikat telekomunikasi ini menerima bilangan-bilangan aduan yang besar dalam tempoh tiga bulan berkenaan.
Kebanyakan aduan yang diutarakan oleh pengguna kepada SKMM lebih melibatkan isu berkaitan isyarat 4G yang tidak kuat, serta tidak menerima liputan 4G.
Dari segi lokasi aduan diterima pula, Johor Bahru mencatatkan angka aduan tertinggi mengikut kawasan. Ini diikuti oleh daerah Petaling, Seremban, Kuala Lumpur dan juga Klang.
Hasil daripada aduan orang ramai ini juga telah diambil maklum oleh syarikat-syarikat telekomunikasi yang terlibat. Kerja-kerja menaik taraf dan menambah bilangan pencawang telekomunikasi juga sedang giat dijalankan bagi menambahbaik perkhidmatan kepada pengguna selain selaras dengan pelaksanaan program JENDELA.
Aduan dan maklumbalas dari pengguna kepada pihak SKMM mampu memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai kualiti telekomunikasi di Malaysia. Dalam pada masa yang sama, pihak SKMM juga memaklumkan jumlah aduan yang diterima ini masih lagi kecil dan tidak menolak kemungkinan angka sebenar adalah lebih besar.













