Celcom Axiata Bhd sedang bersiap sedia untuk melancarkan perkhidmatan rangkaian 5G menjelang penghujung tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi menjelaskan pihaknya telah bersedia secara teknikal.
Perbincangan dengan syarikat tujuan khas 5G juga telah dijalankan dengan lebih dari 50 ujian kes telah dilaksanakan sepanjang tahun ini.
Antara lokasi yang dipilih untuk melaksanakan pengujian teknologi rangkaian 5G termasuklah Langkawi, Petaling Jaya, dan bandar-bandar terpilih di seluruh negara.
Teras rangkaian Celcom juga dinyatakan telah bersedia untuk dihubungkan dengan teras rangkaian 5G Digital Nasional Bhd (DNB).
Pihak Celcom juga akan mempertingkatkan kapasiti 5G berdasarkan keperluan semasa di masa akan datang. Buat masa ini Celcom sedang menutup rangkaian-rangkaian 3G bagi memberikan lebih banyak spektrum kepada rangkaian 4G.
Menerusi sidang media dalam talian berkenaan, Encik Idham Nawawi turut berpendapat masa depan 5G di dalam negara berpotensi cerah.













