Pelaksanaan rangkaian 5G bukan sekadar memerlukan peranti-peranti yang menyokongnya, ianya memerlukan sokongan secara keseluruhannya baik dari infrastruktur rangkaian mahupun ekosistemnya.
Hari ini Celcom telah dilaporkan memulakan tempoh pengujian rangkaian 5G di sekitar kawasan Petaling Jaya. Ujian yang dijalankan sepanjang tempoh 6 bulan ini juga dikenali sebagai 5G Live Cluster Field Trial ini merupakan pertama seumpamanya di Malaysia.
Ia meliputi kawasan seluas 1.22 kilometer persegi di sekitar ibu pejabat Celcom di Petaling Jaya yang turut merangkumi Seksyen 14, Hotel Crown Crystal, Menara MBPJ dan LRT Taman Jaya.
Dipancarkan melalui MIMO 64T64R menggunakan C-Band dan teknologi mmWave, rangkaian ini direkodkan mampu menyediakan akses capaian data berkelajuan 6Gbps dengan latensi 10ms. Menurut Celcom, teknologi 5G yang bakal digunakan oleh pihaknya mampu menyediakan panggilan suara yang lebih jelas, waktu penyediaan yang lebih pendek dan banyak lagi. Melalui kelajuan yang jauh lebih pantas, penstriman video dan permainan mampu dipancarkan dengan lebih lancar.
Bagaimanapun, harus diingat segala keputusan yang dipertontonkan ini hanya diperingkat ujian sahaja dan memerlukan lebih pembaikan sebelum ianya benar-benar bersedia untuk kegunaan umum. Tempoh pengujian ini peting dan perlu dibuat supaya dapat melihat sejauh mana keberkesanan implementasi teknologi 5G ini di Malaysia.
Sumber berita diperoleh dari Utusan













