Caj transaksi RM1 bagi pengeluaran di mesin pengeluaran tunai (ATM) melibatkan antara bank akan kembali dilaksanakan bermula pada esok. Bank-bank di Malaysia seperti Maybank, Bank Islam Malaysia Bhd, CIMB Bank, RHB Bank, Citibank dan HSBC telah memaklumkan tentang perkara ini melalui platform media sosial masing-masing sejak dari pertengahan Disember tahun lalu.
Bagi pengeluaran yang melibatkan bank yang sama dengan mesin ATM yang digunakan pula, pengguna tidak akan dikenakan apa-apa caj tambahan. Caj ini hanya dikenakan bagi pengeluaran melalui mesin ATM yang berlainan dari akaun bank yang ingin dikeluarkan.
Langkah pengecualian caj pengeluaran RM1 ini pertama kali diperkenalkan oleh kerajaan bermula pada 6 April 2020 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ia bertujuan meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat ketika berdepan dengan wabak pandemik, selain turut mengurangkan pergerakan rakyat sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.













