Syarikat pengeluar kenderaan tenaga baharu (NEV) terkemuka, BYD, telah mengumumkan panggilan balik (recall) yang melibatkan lebih 115,000 unit kenderaan di China.

Pengumuman yang dibuat oleh Pentadbiran Negeri untuk Peraturan Pasaran (SAMR) China itu melibatkan dua model SUV, iaitu Tang dan Yuan Pro. Ia disebabkan oleh isu berasingan yang dikenal pasti sebagai bahaya keselamatan.

Walau bagaimanapun, pemilik kenderaan BYD di Malaysia tidak terjejas oleh panggilan balik ini kerana model-model tersebut tidak pernah dijual secara rasmi di pasaran tempatan.

Model-model yang terkesan

Menurut pengumuman SAMR, panggilan balik ini merangkumi dua model spesifik dengan isu yang berbeza iaitu:

  1. BYD Tang (Plug-in Hybrid SUV 2015):
    • Unit terlibat: 44,535 unit yang dikilangkan antara 28 Mac 2015 dan 28 Julai 2017.​
    • Isu: Terdapat masalah pada reka bentuk dan komponen elektronik dalam pengawal motor pemacu, yang boleh menjejaskan fungsi nyahcas aktifnya. Dalam kes-kes ekstrem, papan litar kereta boleh terbakar, menyebabkan kegagalan mod pemanduan elektrik sepenuhnya.​
    • Penyelesaian: Pemilik akan menerima kemas kini perisian secara percuma di pengedar sah BYD.​
  2. BYD Yuan Pro (SUV Elektrik Penuh 2021):
    • Unit terlibat: 71,428 unit yang dikilangkan antara 6 Februari 2021 dan 5 Ogos 2022.​
    • Isu: Masalah pembuatan menyebabkan pemasangan gasket pengedap pada bateri voltan tinggi yang tidak sempurna. Ini menjejaskan keupayaan kalis air bateri, membenarkan air masuk jika kenderaan meredah air pada kelajuan tinggi untuk tempoh yang lama. Dalam kes yang teruk, ia boleh mengurangkan output kuasa bateri.​
    • Penyelesaian: Kenderaan yang terjejas akan menerima pengedap baharu pada selongsong bateri voltan tingginya secara percuma.​

SAMR telah mengklasifikasikan kedua-dua isu tersebut sebagai bahaya keselamatan. Walaupun skala panggilan balik ini besar, ia tidak menimbulkan kebimbangan kepada pengguna di Malaysia.

Ini kerana kedua-dua model yang terjejas adalah produk generasi lama yang dikeluarkan sebelum kemasukan rasmi BYD ke pasaran kereta penumpang Malaysia pada Disember 2022 melalui model Atto 3.

Pemilik kenderaan BYD dan peminat kenderaan elektrik (EV) di Malaysia tidak perlu panik berhubung berita panggilan balik ini. Model-model yang dijual di Malaysia, seperti Atto 3, Dolphin, dan Seal, tidak termasuk dalam senarai yang terjejas.

Sejumlah lebih dari 20,000 unit EV telah dihantar oleh BYD dalam tempoh kurang tiga tahun ke pasaran Malaysia. Pengeluar kenderaan elektrik tersebut kini sedang dalam proses membangunkan kilang pemasangan tempatan (CKD) di Tanjung Malim yang dijangka beroperasi pada 2026.

Tinggalkan komentar