Jenama subsidiari Xiaomi, Black Shark telah mengesahkan telefon pintar terbarunya, Black Shark 3 akan dilancarkan di Malaysia pada 30 April 2020. Siri telefon pintar ini pertama kali membuat kemunculannya di China dengan memperkenalkan dua variasi.
Versi standard Black Shark 3 dilengkapkan dengan paparan FHD+ 6.67-inci dengan kadar penyegaran semula 90Hz dan kadar pensampelan sentuhan 270Hz. Ia menampilkan cipset 5G Snapdragon 865 dengan RAM 12GB dan storan dalaman 256GB.
Telefon dengan bateri berkapasiti 4,720mAh ini turut dilengkapkan dua butang kapasitatif di kedua-dua belah ‘bahu’ sisi kanannya untuk kegunaan permainan.
Untuk Black Shark Pro pula, ia hadir dengan lebih banyak fungsi serta lebih besar skrin dan kapasiti baterinya. Selain dari menampilkan kadar penyegaran semula dan kadar pensampelan sentuhan yang sama seperti versi standard, versi Pro dilengkapkan dengan paparan QHD+ OLED 7.1-inci. Bateri yang disertakan juga lebih besar iaitu 5,000mAh selain dari menawarkan dua butang mekanikal pada bahu sisi kanannya.
Kamera belakang kedua-dua variasi telefon ini menyediakan tetapan tri-kamera yang menempatkan lensa utama 64MP, lensa ultra-lebar 13MP, dan lensa bokeh 5MP. Kamera hadapannya pula menyediakan lensa 20MP yang ditempatkan di sebelah atas.
Harga bagi telefon pintar permainan mudah alih terbaru siri Black Shark ini masih belum diumumkan lagi setakat ini.













