Seorang pembeli dalam talian terkejut apabila menerima sebiji batu-bata dan bukannya kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5080 bernilai kira-kira $1,000 (RM4,700) yang dipesannya daripada platform e-dagang Amazon.

Insiden yang dikongsi melalui akaun Reddit “GlassHistorical5303” ini telah menjadi viral dalam komuniti teknologi dan menimbulkan persoalan mengenai keselamatan sistem logistik gergasi e-dagang terbabit. Pelanggan berkenaan telah membuat pesanan untuk kad grafik PNY GeForce RTX 5080 daripada kedai rasmi PNY di Amazon tetapi mendapati kotak tersebut hanya mengandungi sebiji batu-bata yang dibalut kemas dalam beg anti-statik.

Amazon sent me a brick instead of a 5080
byu/GlassHistorical5303 inpcmasterrace

Kejadian ini dipercayai berkait dengan amalan “commingling inventory” atau penyatuan inventori yang diamalkan Amazon untuk memudahkan proses logistik. Sistem ini menggabungkan produk daripada penjual berbeza ke dalam satu inventori tunggal. Ia boleh membuka ruang kepada penipuan di mana individu tidak bertanggungjawab mungkin membeli kad grafik, menukarnya dengan objek lain yang mempunyai berat sama seperti batu-bata, dan memulangkannya semula.

“Ini bukan kes pertama berlaku. Sebelum ini ada pelanggan menerima blok logam, pasta dan beras sebagai ganti kepada kad grafik berprestasi tinggi yang dipesan,” kata pengulas dalam komuniti teknologi. Komuniti Reddit secara sinis menggelar “kad grafik” batu-bata tersebut sebagai “Foundation Edition”.

Amazon dilaporkan telah memproses permohonan bayaran balik pelanggan terlibat dengan pantas. Walau bagaimanapun, insiden ini menjadi peringatan kepada pembeli untuk berhati-hati ketika membeli komponen elektronik bernilai tinggi secara dalam talian.

Tinggalkan komentar