Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 bernilai RM2 bilion diawalkan kepada 18 Oktober ini berbanding jadual asal pada bulan November, sempena sambutan Deepavali.
Pengumuman dibuat ketika pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, yang dijangka memberi manfaat kepada hampir sembilan juta penerima di seluruh negara.
“Sukacita diumumkan, sempena perayaan Deepavali oleh kaum India, bayaran STR Fasa 4 2025 – yang dijadualkan untuk November dan bernilai RM2 bilion – diawalkan, dan disalurkan mulai 18 Oktober,” kata Perdana Menteri
Selain pembayaran awal STR, kerajaan turut meluluskan diskaun tol sebanyak 50 peratus untuk kenderaan persendirian Kelas 1 selama dua hari pada 18 dan 19 Oktober ini.
Inisiatif ini bertujuan memudahkan rakyat pulang ke kampung halaman sempena sambutan Deepavali pada 20 Oktober. Bagaimanapun, diskaun tidak terpakai di plaza tol sempadan negara.
Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM13 bilion untuk program STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun ini, dengan pembayaran sehingga Fasa 3 berjumlah RM6 bilion telah diselesaikan.
Bagi tahun 2026, beliau mengumumkan peruntukan STR dan SARA akan ditingkatkan kepada RM15 bilion. Semua sembilan juta penerima STR akan menerima bantuan SARA sehingga RM100 sebulan atau RM1,200 setahun.













