Program Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE) 3.0 sedang menawarkan rebat sehingga RM400 bagi pembelian barangan elektrik berkecekapan tenaga pada tahun ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu program ini disasarkan dapat memanfaatkan lebih 140,000 isi rumah di seluruh negara.
Menurut beliau, e-rebat ini dapat ditebus bagi pembelian barangan elektrik yang mempunyai penarafan empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga.
Terdahulu, program SAVE 2.0 menawarkan rebat RM200 dan hanya terhad bagi pembelian penyaman udara dan peti sejuk.
Tambah menteri berkenaan lagi, program SAVE 3.0 turut menawarkan lebih pilihan untuk peralatan elektrik. Antaranya penyaman udara dan peti sejuk bagi kategori satu, dan TV, mesin basuh, ketuhar gelombang mikro dan periuk nasi bagi kategori dua.
Permohonan hanya dibuka kepada rakyat Malaysia dan pemilik akaun elektrik tarif domestik berdaftar dengan syarikat-syarikat utiliti seperti:
- Tenaga Nasional Berhad (TNB)
- Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB)
- Sarawak Energy Bhd (SEB)
- NUR Power
Pembelian juga hanya pada tahun ini sahaja berdasarkan siapa cepat dia dapat.
Pembelian barangan elektrik ini boleh dilakukan melalui dua cara dengan mengemukakan bil elekrik di kedai-kedai fizikal yang menyertai. Atau secara dalam talian di platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan PG Mall.













