Selaku penaja rasmi untuk Sukan Olimpik 2024 di Paris, kesemua atlet menerima telefon pintar Samsung Galaxy Z Flip 6. Atlet-atlet dari seluruh negara yang mengambil bahagian menerima telefon pintar boleh lipat gaya katup tersebut kecuali sebuah negara ini – Korea Utara.

Pengecualian ini disebabkan Resolusi Majlis Keselamatan 2397 yang diluluskan pada tahun 2017. Resolusi ini menetapkan larangan membekal, menjual atau memindahkan segala bentuk “jentera industri.” Berdasarkan peraturan tersebut, peranti mudah alih termaju seperti Galaxy Z Flip 6 tergolong di dalam kategori tersebut.

Perkara ini dinyatakan oleh pegawai dari Korea Selatan yang memaklumkan ia amat mustahak bagi menghalang barangan-barangan yang terlarang dari memasuki Korea Utara.

Sebahagian atlet yang menaiki podium akan mengamil swafoto kenang-kenangan dengan atlet lain menggunakan Galaxy Z Flip 6. Telefon pintar ini mudah untuk mengambil swafoto kerana bentuk boleh lipatnya. Skrin luaran ‘Flex Window’ di bahagian luarnya dengan sokongan Auto Zoom turut membantu pengguna mendapatkan sudut swafoto yang lebih baik.

Majlis Olimpik Antarabangsa telah mengesahkan telefon-telefon pintar berkenaan telah dihantarkan ke Perkampungan Olimpik dan menjelaskan atlet dari Korea Utara tidak menerimanya. Ke mana unit-unit berkenaan pergi bagaimanapun tidak dijelaskan oleh pihak majlis.

Tinggalkan komentar