Asus telah mengumumkan ketersediaan laptop dengan Copilot+ baharu, Vivobook S14 dan S16 yang menggunakan pemprosean Qualcomm Snapdragon X di pasaran Malaysia. Pemprosesan tersebut merupakan X1-26-100 yang mempunyai 8 teras, 8 bebenang dengan Cache 30MB dan klok dipertingkatkan sehingga 2.97GHz dan NPU 45 TOPS.

Kedua-dua laptop ini mempunyai spesifikasi perkakasan yang sama dan hanya dibezakan pada saiz paparannya sahaja. Paparan OLED yang dimaksudkan tersebut beresolusi FHD+ dan mempunyai kadar penyegaran semula 60Hz.

Lain-lain spesifikasinya merangkumi RAM LPDDR5X-8448 16GB, storan PCIe 4.0 1TB, Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3, serta satu port USB-A 3.2 dan USB4. Kapasiti baterinya juga sama pada 70Wj yang dimuatkan di dalam laptop yang berketebalan 1.79cm ini. Satu lagi beza antara dua model ini tentunya pada beratnya yang untuk S14 seberat 1.35kg dan S16 pula seberat 1.74kg.

Laptop Asus Vivobook baharu ini boleh didapatkan sekarang di wakil-wakil pengedar yang sah pada harga RM3,699 untuk kedua-dua model ini. Ya, kedua-dua model ini dijual pada harga yang sama di pasaran dan anda boleh mendapatkannya dengan dua pilihan warna Cool Silver dan Matte Gray.

 

Tinggalkan komentar