Selain dari Zephyrus G15 dan laptop siri TUF Gaming, ASUS turut melancarkan laptop VivoBook 14. Pemprosesan yang digunakan juga adalah dari siri yang sama iaitu AMD Ryzen 4000.
Laptop yang dikuasakan oleh AMD Ryzen 4000 ini hadir dalam dua variasi. Salah satunya menampilkan pemprosesan Ryzen 5 4500U 6-teras dengan klok maksima 3.8GHz dan asas 2.4GHz. Variasi ini turut didatangkan modul RAM DDR4 tunggal 8GB bersama-sama storan SSD M.2 NVMe PCIe 512GB. Ianya turut disokong dengan penyambungan Wi-Fi 6 dan Bluetooth 5.0.
VivoBook S14 menggunakan bateri Li-Ion 3-cell 50Wj dan ianya boleh dikatakan sedikit besar berbanding laptop keluaran semasa. Menurut ASUS, bateri ini mampu digunakan sehingga 11 jam secara berterusan hasil dari kecekapan tenaga oleh pemprosesan AMD Ryzen 4000. Manakala fungsi pengecasan pantasnya pula mampu mengisi sehingga 60% bateri dalam tempoh 49 minit mengecas.
Bagi variasi VivoBook S14 berikutnya, ia dibezakan pada pemprosesan Ryzen 4700U yang digunakannya. Namun, spesifikasi lainnya adalah sama.
Untuk port, VivoBook S14 menampilkan satu port HDMI 1.4, bicu audio kombo 3.5mm, dua USB 2.0 Type-A, satu USB 3.1 Gen1 Type-A, satu USB-C 3.2 Gen1, dan satu pembaca kad mikroSD. Sepertimana laptop-laptop ringan dan tipis lain, VivoBook S14 hanya seberat 1.4kg.
ASUS VivoBook S14 kini sudah boleh diperoleh di kedai-kedai rasmi ASUS dan juga wakil pengedar yang sah. Harga laptop ASUS ini bermula dari RM2,899 bagi model CPU Ryzen 5 4500U. Manakala bagi model Ryzen 7 4700U pula, harganya adalah RM3,199.
Variasi warna bagi model Ryzen 7 4700U hanya didatangkan dengan satu pilihan warna sahaja iaitu Indie Black. Bagi model yang menggunakan CPU Ryzen 5 4500U pula, ianya hadir dengan tiga warna: Gaia Green, Indie Black, dan Dreamy White.













