ASUS secara rasminya mengumumkan siri ROG Phone 6 dan telefon pintar ini ditawarkan dalam dua model iaitu standard dan Pro. Kedua-dua model ini dibezakan sedikit dengan beberapa ciri yang unik pada model Pro.
Pun begitu, model-model ROG Phone 6 ini kedua-duanya menawarkan paparan AMOLED Full HD+ 6.78-inci dengan kadar penyegaran semula 165Hz dan kadar pensampelan sentuhan 720Hz. Ia juga menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 8 Plus 1 dengan bateri berkapasiti 6,000mAh yang menyokong pengecasan 65W.
Kameranya pula menampilkan kamera utama 50MP, kamera bersudut lebar 13MP dan lensa makro. Untuk depannya pula disediakan kamera 12MP.
ASUS ROG Phone 6 boleh didapati dalam pilihan konfigurasi RAM 12GB + storan 256GB dan RAM 16GB + storan 512GB. Bagi pilihan RAM 12GB berkenaan, harga yang ditawarkan adalah RM3,599, manakala RAM 16GB pula ia dijual dengan harga RM4,399. Telefon pintar ini juga hadir dengan pilihan warna Storm White dan Phantom Black bersama-sama pencahayaan Aura RGB.
Untuk model Pro pula, ia menawarkan RAM 18GB dan storan 512GB dengan harga RM4,999 dan hanya ditawarkan dengan warna Storm White sahaja. Selain itu, beza pada model Pro ini adalah pada paparan mini ROG Vision pada belakangnya. Berbeza dengan model Standard yang akan tiba di pasaran pada Ogos ini, model Pro ini hanya akan tiba pada September ini.
Pra-tempahan bagi kedua-dua model ASUS ROG Phone 6 ini mula dibuka pada hari ini menerusi ASUS Mobile Official Store di Shopee dan juga wakil-wakil pengedar yang sah di seluruh negara. Anda yang membuat tempahan awal akan layak menerima cenderahati percuma bernilai RM548, bersama-sama perlanjutan waranti selama setahun percuma bernilai RM199 dan AeroActive Cooler 6 bernilai RM349.













