Minggu lalu terdapat laporan yang mengatakan penjual di China telah menyenaraikan model telefon Asus ROG Phone 5 baharu di lamannya untuk ditempah. Kini, Asus secara rasminya telah mengesahkan kewujudan telefon berkenaan yang hadir dalam dua model iaitu ROG Phone 5S dan ROG Phone 5S Pro.
Penambahbaikan pada model ini tertumpu pada jenis cipset iaitu Qualcomm Snapdragon 888+ berbanding Snapdragon 888 pada keluaran sebelum ini.
Selain itu, kadar pensampelan sentuhan yang ditawarkan 300Hz sebelum ini telah ditingkatkan kepada 360Hz. Ia pastinya memberikan lebih kepuasan buat pemain permainan video mudah alih yang menjadi keutamaan buat model telefon Asus ini.
Kamera telefon ini dilengkapkan dengan tri-kamera pada belakangnya yang mengandungi 64MP, 13MP dan 5MP. Untuk kamera hadapannya pula disediakan sebuah kamera 24MP bagi tujuan swafoto.
Telefon Asus ini juga mempunyai sistem audio berkualiti melalui pembesar suara stereo yang menyokong GameFX dan Dirac HD Sound.
Spesifikasi tersebut adalah sama bagi kedua-dua model Asus ROG Phone 5S ini. Namun, perbezaan ketara antara kedua-duanya adalah bilangan RAM, serta pada panel sentuhan pada permukaan belakangnya.
Pada model Pro juga disediakan dua buah pad sentuhan yang berperanan sebagai butang pemicu tambahan. Ia juga mempunyai butang pemicu bahu ultrasonik AirTrigger yang mempunyai tujuan fungsi yang sama.
Perbezaannya antara keduanya ini adalah mirip dengan beza antara ROG Phone 5 Pro dengan ROG Phone 5 Ultimate Editions sebelum ini.
Buat masa ini, hanya harga bagi pasaran Taiwan sahaja yang diumumkan dan harga bagi model standard adalah dari NT$ 29,999 (~RM 4562). Manakala bagi model Pro pula harganya adalah NT$ 37,990 (~RM 5791).













