Pengguna telefon pintar hari ini lebih giat bermain permainan mudah alih melalui peranti masing-masing terutamanya di dalam keadaan penularan wabak pandemik seperti yang kita alami pada ketika ini.
Bagi anda yang ingin beralih sepenuhnya ke arena permainan mudah alih, Asus ROG Phone 5 Ultimate mungkin pilihan terbaik bagi tujuan tersebut. Telefon Asus baharu ini akan membuka pra-tempahannya tidak berapa lama lagi dengan harga RM 4,999.
Model berspesifikasi tertinggi di kalangan siri Asus ROG Phone 5 ini hadir dengan cipset Qualcomm Snapdragon 888 yang bergandingan dengan RAM LPDDR5 18GB dan storan dalaman 512GB. Antaramuka yang digunakan olehnya adalah Asus ROG UI yang berasaskan Android 11 dan ia mengkhususkan pada permainan mudah alih.
Asus ROG Phone 5 Ultimate mempunyai paparan OLED FHD 6.78-inci dengan kadar penyegaran semula 144Hz. Ia juga mempunyai skrin OLED kecil di belakangnya yang dinamakan sebagai ROG Vision. Skrin ini selain sekadar gimik, boleh digunakan untuk memaparkan apa sahaja yang anda inginkan. Pada bahagian belakangnya ini juga disediakan zon ekstra sensitif yang berperanan sebagai butang pemicu tambahan di dalam permainan. Lebih kurang butang pemicu L2/R2 pada controller.
Kamera Asus ROG Phone 5 Ultimate
Telefon Asus turut menyediakan tri-kamera dengan sensor utama 64MP yang bergandingan dengan sensor ultra-lebar 13MP dan sensor makro 5MP. Sungguhpun kamera bukanlah keutamaan bagi telefon Asus ini, ia masih lagi berkeupayaan melakukan rakaman beresolusi 8K pada 30fps. Untuk swafoto pula, sebuah sensor 24MP turut disediakan.
Selain itu, sebuah bateri berkapasiti 6,000mAh turut disediakan yang menyokong pengecasan pantas 65W. Terdapat dua buah port disediakan pada Asus ROG Phone 5 Ultimate, iaitu pada sebelah bawah dan di sebelah sisi yang membolehkan anda mengecas ketika sedang bermain. Turut disediakan fungsi pengecasan berbalik 10W yang boleh menjadikan telefon ini sebagai ‘powerbank’ sementara.
Tidak ketinggalan, telefon Asus ini menyediakan bicu audio 3.5mm dan juga kipas berklip pelekap di dalam kotak pembeliannya. Kipas ini tidak disediakan bagi model ROG Phone 5 Standard. Oleh kerana varian ini merupakan paling ‘ultimate’ ia didatangkan dengan warna uniknya sendiri iaitu Matte White.
Anda yang berminat boleh melakukan pra-tempahan Asus ROG Phone 5 Ultimate ini bermula dari 8 Ogos hingga 21 Ogos melalui kedai rasmi Asus di Lazada, Shopee dan juga laman web Asus sendiri. Pembelian secara pra-tempahan juga akan menerima Ultimate Fan Gift Box Collection dan sepasang fon kepala ROG Strix Go Core bernilai RM 1,099.
Maklumat lanjut mengenai Asus ROG Phone 5 Ultimate boleh didapati menerusi laman web rasmi Asus Malaysia.













