Astro akan melakukan perubahan terhadap sejumlah pakej penggunanya dengan saluran-saluran baharu bermula 15 September ini. Langkah ini dibuat bagi menggantikan saluran-saluran Fox.
Antara pakej-pakej yang terlibat dengan perubahan ini adalah Family Pack, Movies Pack, Variety Pack, Learning Pack dan Sports Pack. Perubahan ini juga dikatakan mempunyai hubungkait dengan pengambilalihan syarikat FOX oleh Disney.
Saluran-saluran FOX sebelum ini akan digantikan dengan saluran-saluran baharu dari BBC dan HBO. Manakala untuk saluran-saluran Fox Sports pula akan digantikan dengan Astro Supersport 5 dan SPOTV.
Aplikasi penstriman yang ditawarkan melalui Astro seperti Disney+ Hotstar dan HBO Go juga menerima penambahan aplikasi baharu melalui BBC Player dan Discovery+.
Tidak dapat dipastikan sama ada perubahan ini kelak akan membawa kepada perubahan harga bagi pakej langganan Astro pada pengguna sedia ada.













