Semakin banyak perkhidmatan penstriman ditawarkan di pasaran tempatan buat masa ini. Antara yang ditawarkan kini termasuklah HBO GO, iQiYi, Disney+ Hotstar dan antara yang terbaru Sooka.
Kesemua perkhidmatan yang ditawarkan di Malaysia ini mempunyai jalinan kerjasama dengan Astro, dengan Sooka merupakan perkhidmatan penstriman dari Astro sendiri.
Terkini, Astro dan Netflix telah dilaporkan sedang mengadakan perbincangan bagi memeterai perjanjian untuk membolehkan perkhidmatan Netflix ditawarkan melalui Astro, menurut The Edge.
Bagaimanapun, Astro tidak menyatakan secara spesifik perkhidmatan penstriman apa yang akan menjalinkan kerjasama dengannya.
Cuma, Astro hanya mengesahkan sebuah lagi penyedia perkhidmatan penstriman popular akan menyertai platform penstriman yang ditawarkan oleh Astro kelak berdasarkan pembentangan pendapatan yang diterbitkan hari ini.
Tidak dapat dipastikan apakah bentuk penawaran perkhidmatan yang akan disediakan oleh kedua-dua pihak kelak selepas pengumuman rasmi yang dijangkakan akan dibuat dalam masa yang terdekat ini.













