Gabungan pemegang hak cipta Amerika Syarikat telah mendesak kerajaan China untuk mengambil tindakan tegas terhadap platform penstriman cetak rompak seperti LokLok, GIMY, dan Flujo TV yang beroperasi dari China tetapi menyasarkan pasaran luar negara secara eksklusif. Desakan ini dikemukakan kepada Wakil Perdagangan Amerika Syarikat bagi membendung penyebaran kandungan haram ke pasaran global.

International Intellectual Property Alliance (IIPA) yang mewakili gergasi industri kreatif seperti Motion Picture Association (MPA) dan Recording Industry Association of America (RIAA) menyatakan kebimbangan terhadap trend perkhidmatan cetak rompak “eksport sahaja” yang semakin berkembang.

Platform-platform ini didakwa dengan sengaja menyekat akses pengguna dari China untuk mengelak tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan, khususnya National Copyright Administration of China (NCAC). Taktik geo-blocking ini membolehkan mereka beroperasi dari China sambil mengedarkan kandungan cetak rompak ke seluruh dunia tanpa halangan.

“Pengeksportan kandungan, perkhidmatan, dan peranti cetak rompak dari China ke pasaran asing adalah trend global yang membimbangkan dan semakin meningkat,” menurut IIPA.

Flujo TV, yang dahulunya popular dengan nama MagisTV, menjadi salah satu contoh utama. Perkhidmatan ini menyasarkan pengguna di Amerika Latin walaupun operasinya dikaitkan dengan syarikat China bernama Shenzhen Huiyi Electronics yang pernah cuba mendaftarkan tanda dagang MagisTV di Amerika Syarikat.

IIPA menegaskan bahawa NCAC tidak mengambil tindakan terhadap aduan melibatkan operasi tanpa kehadiran pengguna tempatan. Kelemahan dalam sistem penguatkuasaan ini dieksploitasi oleh pengendali perkhidmatan cetak rompak.

Bagi menangani isu ini, IIPA mencadangkan China memperluaskan skop penguatkuasaan untuk meliputi perkhidmatan yang diuruskan dari China tetapi beroperasi di luar negara, serta meningkatkan kerjasama penguatkuasaan rentas sempadan.

Tinggalkan komentar