Apple pada hari ini telah menerbitkan kemaskini iOS 15.1 dan iPadOS 15.1 untuk peranti-peranti tersuai. Perubahan utama yang diberikan menerusi kemaskini ini termasuklah SharePlay dan ProRes.

Melalui SharePlay, pengguna boleh melakukan secara bersama bagi aktiviti seperti mendengar lagu, menonton rancangan TV dan filem, dan sebagainya. Fungsi ini juga membolehkan pengguna berkongsikan skrin untuk menayangkan aplikasi kepada kenalan di dalam panggilan FaceTime.

Apple juga menambah pilihan untuk merakamkan video di dalam ProRes pada iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max. ProRes merupakan codec pasca-produksi berkualiti tinggi yang digunakan dalam industri perfileman. Ia disokong oleh hampir kesemua kamera sinema dan aplikasi suntingan utama.

Melalui iPhone, ia akan membolehkan rakaman diambil dalam kualiti paling tinggi yang boleh dicapai untuk suntingan dan pasca-memproses. Ia juga dilakukan dengan mampatan yang lebih rendah berbanding codec standard, H.264/HEVC.

Dalam pada masa yang sama, Apple turut menambah pilihan untuk mematikan fungsi mengubah kamera secara automatik ke mod makro. Buat masa ini, kamera iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max akan mengubah ke mod makro apabila anda merapat ke subjek tanpa menyediakan kawalan secara manual ketika transisi tersebut berlaku. Melalui kemaskini ini, pengguna boleh mematikan transisi automatik tersebut apabila kamera merapat ke objek yang ingin diambil fotonya.

Kemaskini iOS 15.1 juga menambah sokongan kad vaksinasi COVID-19 di dalam aplikasi Apple Wallet. Ia seterusnya memudahkan anda menyimpan dan menunjukkan kad vaksinasi anda melalui iPhone atau Apple Watch anda.

Tinggalkan komentar