Apple setakat ini telah membuka lima buah kedai jualannya di seluruh Asia Tenggara dengan tiga daripadanya di Singapura dan dua lagi di Bangkok, Thailand.
Sebelum ini terdapat pelbagai desas-desus mengenai pembukaan Apple Store di Kuala Lumpur dan berdasarkan laporan terkini, ianya dikatakan akan berlaku tahun hadapan.
Menurut sumber yang memaklumkan kepada Vasantha Ganesan, Editor Bersekutu di The Edge, bahawa pemaju bersama The Exchange TRX iaitu Lendlease di Jalan Tun Razak, K. Lumpur sedang dalam peringkat selanjutnya perbincangan dengan Apple.
Syarikat pembinaan dan hartanah antarabangsa berpangkalan di Australia ini sedang meyakinkan Apple untuk membuka kedai jualan pertamanya di Malaysia.
Laporan tersebut turut menyatakan wakil dari Apple telah berada di Kuala Lumpur pada bulan lepas bagi membincangkan perkara ini.
The Exchange TRX akan menyediakan sejumlah 500 premis yang merangkumi gaya hidup, hiburan dan makanan dan mula dibuka secara berfasa sehingga 2025. Di atas bumbungnya akan disediakan taman seluas 10 ekar dan akan menjadi taman besar pertama di Kuala Lumpur dalam tempoh 20 tahun ini.
Setakat ini Apple masih lagi belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung laporan pembukaan kedai jualan fizikalnya di Malaysia.
Imej cover dari Apple Newsroom













