Apple telah mengesahkan tarikh acara pelancaran pertamanya bagi tahun 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 8 Mac, jam 10 pagi PST (2 pagi, 9 Mac – waktu Malaysia). Acara yang bakal berlangsung ini dinamakan sebagai Peek Performance dan ia memfokuskan pada sekilas pandang produk-produk Apple yang akan dilancarkan sepanjang tahun ini.
Pihak Apple buat masa ini masih belum mengesahkan apa-apa mengenai acara tersebut melainkan tarikhnya. Namun, penganalisis dari Bloomberg, Mark Gurman menjangkakan acara berkenaan bakal menyaksikan Apple memperkenalkan MacBook Pro dan Mac Mini yang dilengkapkan dengan pemprosesan M2.
Dilaporkan, gergasi teknologi ini sedang merancang untuk melancarkan beberapa Mac baharu secara berperingkat dalam tahun ini. Ia bertujuan bagi melengkapkan transisi komputer keluarannya dari penggunaan CPU Intel kepada Apple Silicon yang dibangunkan sendiri.
Acara pelancaran yang akan datang ini juga dijangkakan akan memperkenalkan iPhone SE generasi ketiga dan iPad Air baharu dengan kedua-duanya mempunyai sokongan 5G. iPhone SE ini juga dijangka akan mengekalkan rekaan yang sama dari iPhone 8 bersama-sama Touch ID. Di samping itu, perkakasan di dalamnya di tambah baik dengan pemprosesan yang lebih pantas.
Sama seperti pelancaran sebelum ini, pengumuman acara ini turut disertakan bersama-sama objek AR. Ia boleh diaktifkan apabila anda mengunjungi bahagian ‘Events’ di dalam laman web Apple melalui pelayar Safari pada iPhone dan iPad.
Berikut adalah pratonton yang dikongsikan oleh Timbalan Presiden Kanan Pemasaran Persada Dunia Apple, Greg Joswiak di Twitter:
Peek performance. March 8th. See you there. #AppleEvent pic.twitter.com/cEKMq7BuBh
— Greg Joswiak (@gregjoz) March 2, 2022
Sama seperti acara pelancaran Apple sejak dua tahun yang lepas, Peek Performance akan dilangsungkan secara digital sahaja. Peminat Apple boleh mengikuti acara langsung berkenaan menerusi aplikasi Apple TV pada peranti masing-masing atau menerusi laman web rasmi Apple.













