Apple melancarkan iklan terbaharu berdurasi lapan minit bertajuk “The Underdogs: BSOD” yang secara terang-terangan menyindir kelemahan sistem operasi Windows, khususnya masalah skrin biru atau Blue Screen of Death (BSOD).
Menerusi kempen “Mac Tidak Panik” ini, syarikat teknologi itu mempromosikan macOS sebagai pilihan yang lebih stabil dan boleh dipercayai.
Iklan tersebut mengisahkan sekumpulan pekerja syarikat pemula yang menyertai ekspo perdagangan bernama Container Con. Ketika berlaku kegagalan sistem besar-besaran yang menyebabkan komputer Windows di seluruh dewan terkena skrin biru, pasukan yang menggunakan Mac kekal tenang dan terus bekerja tanpa gangguan.
Naratif ini dipercayai merujuk kepada insiden gangguan perisian CrowdStrike pada 2024 yang menjejaskan ribuan PC di seluruh dunia. Walaupun kejadian itu bukan kesalahan langsung Microsoft, Apple memanfaatkan situasi tersebut untuk menonjolkan kestabilan produknya.
Dalam satu babak, seorang pakar keselamatan yang dihubungi menjelaskan kelebihan seni bina keselamatan macOS. Menurut watak tersebut, “API keselamatan titik akhir mengendalikan fungsi peringkat kernel secara lalai. Ia tidak memberikan akses peringkat kernel. Bahagian terdalam sistem operasi dilindungi daripada pengubahsuaian oleh perisian pihak ketiga atau perisian hasad.”
Penjelasan ini secara langsung membandingkan sistem keselamatan Mac dengan Windows, sekali gus mengukuhkan mesej bahawa komputer Mac lebih selamat untuk persekitaran kerja kritikal.
Langkah Penambahbaikan yang pernah Microsoft lakukan
Sebagai respons kepada isu kestabilan sistem, Microsoft dilaporkan sedang melaksanakan beberapa penambahbaikan. Antara langkah yang diambil ialah pemindahan perisian antivirus keluar dari kernel Windows ke platform API baharu yang dikenali sebagai Windows Endpoint Security Platform.
Selain itu, Microsoft turut memperkenalkan ciri Quick Machine Recovery yang membolehkan pengguna kembali ke desktop dengan lebih pantas sekiranya berlaku masalah BSOD. Inisiatif ini menunjukkan komitmen syarikat untuk menangani persepsi negatif terhadap kestabilan sistem operasinya.













