Apple secara rasmi telah memperkenalkan pemproses siri-M terbaharunya, iaitu cip Apple M5. Dibina berasaskan teknologi 3nm generasi ketiga, cip ini memfokuskan kepada peningkatan prestasi Kecerdasan Buatan (AI), selari dengan trend teknologi semasa.
Cip M5 menampilkan CPU 10-teras yang terdiri daripada enam teras kecekapan dan sehingga empat teras prestasi. Menurut Apple, CPU ini memberikan prestasi multi-threaded sehingga 15% lebih pantas berbanding generasi sebelumnya. Ciri-ciri lain termasuk Neural Engine 16-teras yang telah ditambah baik dan peningkatan lebar jalur memori (memory bandwidth) hampir 30% kepada 153GB/s dengan sokongan RAM sehingga 32GB.
GPU 10-teras pada M5 kini didatangkan dengan Neural Accelerator dalam setiap teras, membolehkan tugasan berkaitan AI dijalankan dengan lebih pantas. Apple mendakwa M5 mampu memberikan prestasi pengkomputeran GPU puncak lebih 4 kali ganda berbanding M4. Selain itu, cip ini dilengkapi dengan teras shader yang dipertingkatkan dan enjin ray-tracing baharu yang menawarkan peningkatan prestasi grafik sebanyak 45%.
Melengkapkan penawaran ini adalah Neural Engine 16-teras yang bekerjasama dengan Neural Accelerator dalam CPU dan GPU. Apple menyatakan bahawa ia lebih pantas dan mampu memberikan prestasi AI yang lebih berkuasa sambil mengekalkan kecekapan tenaga. Selain mengendalikan beban kerja AI secara umum dengan lebih baik, M5 turut meningkatkan prestasi untuk ciri Apple Intelligence.
Antara peranti yang akan menggunakan cip silikon terbaharu ini termasuk:
- MacBook Pro 14-inci
- iPad Pro
- Vision Pro
Ketiga-tiga peranti ini telah dilancarkan bersama-sama cip M5.
Pengenalan cip M5 menandakan fokus berterusan Apple terhadap pembangunan teknologi AI dalam barisan produknya. Peningkatan ketara pada CPU, GPU, dan terutamanya Neural Engine, membolehkan pengguna menjangkakan prestasi yang lebih lancar dan cekap, khususnya dalam aplikasi yang memanfaatkan kecerdasan buatan.













