Apple mengumumkan rancangan untuk menambah bilangan iklan yang dipaparkan dalam keputusan carian di App Store bermula tahun depan, dalam usaha meningkatkan peluang penjanaan muat turun aplikasi melalui platform pengiklanan Apple Ads.

Buat masa ini hanya satu iklan dipaparkan di bahagian teratas carian. Namun mulai 2026 iklan tambahan akan muncul lebih jauh ke bawah dalam senarai keputusan carian di App Store.

Perubahan ini akan memberi kesan kepada pengguna iOS dan iPadOS. Tidak terkecuali pembangun aplikasi yang menggunakan iklan carian sebagai strategi pemasaran digital mereka.

Apple sebelum ini hanya menawarkan satu slot iklan di bahagian paling atas keputusan carian, contohnya apabila pengguna mencari aplikasi popular seperti “Facebook”. Slot ini biasanya dimenangi pengiklan lain, seperti TikTok, yang mensasarkan kata kunci tertentu dan berjaya memenangi bidaan dalam lelongan iklan.

Dalam kemas kini baharu di laman Apple Ads, syarikat itu mengesahkan penambahan “iklan tambahan merentasi kueri carian”. Ia akan dipaparkan di kedudukan lebih bawah dalam keputusan carian App Store.

Apple menegaskan langkah ini dibuat untuk meningkatkan peluang pengiklan memacu muat turun aplikasi terus daripada carian. Ia kini menyumbang hampir 65 peratus daripada jumlah muat turun di App Store.

Cara iklan baharu berfungsi

Menurut Apple, pengiklan dan pembangun tidak perlu mengubah kempen sedia ada untuk layak kepada kedudukan iklan baharu dalam keputusan carian.

“Iklan anda akan disiarkan sama ada di kedudukan sedia ada — di bahagian atas keputusan carian — atau lebih bawah dalam keputusan carian,” jelas syarikat itu di laman Apple Ads.

Pengiklan juga tidak boleh memilih atau membida secara khusus untuk sesuatu kedudukan tertentu dalam senarai carian. Sebaliknya, iklan boleh muncul pada mana-mana kedudukan yang tersedia bergantung kepada faktor. Antaranya seperti jumlah bidaan dan ranking dalam lelongan. Kedudukan iklan juga berpotensi berubah-ubah walaupun dalam kempen yang sama.

Model caj dan format iklan

Apple mengekalkan model caj sedia ada, iaitu berasaskan kos per ketik (cost per tap) atau kos per pemasangan (cost per install) untuk pengiklan dan pembangun. Apabila unit iklan baharu ini dilancarkan pada 2026, semua kempen iklan carian yang wujud akan secara automatik layak untuk slot iklan tambahan tersebut.

Format iklan juga dikekalkan sama tanpa mengira kedudukan ia dipaparkan dalam hasil carian. Iklan akan menggunakan halaman produk lalai atau halaman produk tersuai, dengan pilihan pautan terus (deep link) jika diperlukan, dan caj tetap dikenakan mengikut model harga yang dipilih pengiklan.

Data penggunaan App Store dan impak kepada pengiklan
Apple melaporkan lebih 800 juta pengguna mengunjungi App Store setiap minggu. Lebih 85 peratus daripada mereka memuat turun sekurang-kurangnya satu aplikasi pada lawatan terkini mereka.

Syarikat itu juga memetik kadar penukaran sekitar 60 peratus untuk iklan yang dipaparkan di bahagian teratas keputusan carian. Hampir 65 peratus muat turun berlaku sejurus selepas pengguna membuat carian.

Melalui statistik ini, penambahan lagi slot iklan dijangka memberi lebih ruang kepada pengiklan untuk menonjolkan aplikasi mereka kepada pengguna baharu. Slot tambahan dalam keputusan carian juga berpotensi mengubah strategi pemasaran aplikasi. Khususnya bagi pembangun yang bergantung kepada pengoptimuman carian (ASO) dan iklan berbayar untuk meningkatkan kedudukan aplikasi mereka.

Ketersediaan pada iOS dan iPadOS

Iklan carian dengan slot tambahan ini akan dibuka kepada pengiklan bermula 2026. Menurut Apple, ciri tersebut akan disokong pada sistem operasi iOS dan iPadOS versi 26.2 dan ke atas, sekali gus menjadikannya sebahagian daripada ekosistem pengiklanan rasmi Apple untuk tahun-tahun akan datang.

Pengiklan dan pembangun yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan serta tetapan kempen boleh merujuk dokumentasi rasmi di laman Apple Ads. Perubahan ini dijangka menjadi antara fokus utama strategi pengewangan App Store. Di samping itu komisen jualan aplikasi dan langganan dalam aplikasi yang sedia ada.

Pengumuman Apple untuk menambah bilangan iklan dalam keputusan carian App Store menandakan peralihan lebih agresif ke arah pengewangan ruang carian aplikasi. Penekanan khusus diberikan kepada keberkesanan carian sebagai saluran utama penemuan aplikasi.

Walaupun model caj dan format iklan tidak berubah, pengenalan beberapa kedudukan iklan dalam hasil carian bakal mengubah pengalaman pengguna. Ia juga dijangka akan mengubah strategi pemasaran pembangun di App Store mulai 2026.

Tinggalkan komentar