Apple telah menasihatkan para pelaburnya berkenaan cabaran yang perlu dihadapi kesan daripada tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) walaupun melaporkan keuntungan melebihi jangkaan untuk sukuan pertama.

Ketua Pegawai Ekeskutif Tim Cook menyatakan impak dari tarif telah “dikurangkan” awal tahun ini, namun menyatakan perubahan iklim perdagangan menjadikan sukar untuk menjangkakan kesan terhadap kewangan sepenuhnya.

“Kami tidak dapat membuat unjuran yang tepat impak dari tarif memandangkan kami tidak pasti perubahan yang akan berlaku menjelang akhir sukuan,” Tim Cook memberitahu kepada para pelabur ketika sesi pembentangan laporan pendapatan. “Mengambil kira kadar tarif global semasa, dasar-dasar dan pelaksanaan tidak berubah untuk sukuan-sukuan berikutnya dan tiada tarif baharu diperkenalkan, kami menjangkakan kesannya melibatkan penambahan kos sebanyak US$900 juta.”

Sungguhpun terdapat peningkatan ketara terhadap kos keseluruhannya, Tim Cook menyatakan Apple tidak mempunyai sebarang rancangan dalam masa terdekat ini untuk menaikkan harga produk. “Berkenaan harga produk, kami tiada sebarang pengumuman untuk hari ini,” tambah beliau lagi.

Apple masih dikecualikan dari tarif yang diperkenalkan oleh pentadbiran Trump, namun Tim Cook mengambil maklum mengenai risiko kesan dari ketegangan hubungan dagang yang berlaku. Bagi mengurangkan risiko tersebut, Apple telah mempercepatkan proses mempelbagaikan lokasi pengeluaran komponen-komponen produk-produknya.

Sungguhpun kebanyakan iPhone yang dijual di AS masih lagi buatan China, Tim Cook menyatakan pengeluaran di India kini sedang giat dipercepatkan dan dijangka akan memenuhi permintaan iPhone di AS di masa hadapan.

Dalam pada masa yang sama, pengeluaran untuk kebanyakan model-model iPad, Mac, Apple Watch dan AirPod untuk pasaran AS telah dipindahkan ke Vietnam. China bagaimanapun akan terus menjadi hab pengeluaran utama untuk produk Apple yang dijual di pasaran luar AS.

Tinggalkan komentar