Apple dilaporkan akan memulakan proses pengeluaran iPhone berkos rendah terbarunya pada Februari ini dan dijangka akan diumumkan seawal Mac 2020. Terdapat imej yang didakwa tertiris telah pun tersebar di beberapa media dalam talian.
Berita yang diperoleh dari ‘orang dalam’ yang dikenali sebagai Onleaks di Twitter ini turut dikongsikan dengan Bloomberg. Berdasarkan info yang dikongsikan, kerja-kerja pemasangan iPhone model ini akan dibahagikan kepada tiga syarikat Taiwan iaitu, Hon Hai Precision Industry (juga dikenali sebagai Foxconn), Pegatron Corp. dan Wistron Corp.
Telefon pintar ini dijangka akan menampilkan ciri rekaan yang sama dengan iPhone 8 dengan skrin paparan 4.7-inci. iPhone ini juga dikatakan dilengkapkan dengan Touch ID pada butang fizikal ‘Home’ dan tidak menggunakan Face ID.
Onleaks turut menambah, iPhone model ini akan menggunakan pemprosesan generasi berikutnya A13 Bionic, bateri yang dipertingkatkan dan “kamera berlensa tunggal termaju”.
Jurucakap Apple bagaimanapun enggan mengulas mengenai pengeluaran iPhone berkos rendah terbaru ini selepas diajukan oleh Bloomberg. Tidak dapat dipastikan sama iPhone ini benar-benar akan dikenali sebagai “iPhone SE2” kerana terdapat laporan lain yang mengatakan iPhone ini mungkin hanya akan dikenali sebagai “iPhone 9”.
Sumber berita diperoleh dari Bloomberg













