Isu pergeseran di antara Apple dengan Qualcomm seringkali menghiasi tajuk di media-media utama dalam tempoh yang agak lama. Bagaimanapun, perkembangan terbaru menunjukkan kedua-duanya sudah mula ke arah perdamaian dengan menandatangani perjanjian usahasama untuk tempoh enam tahun.

Lebih kurang setahun selepas perjanjian tersebut ditandatangani, maklumat terkini menyatakan barisan produk Apple keluaran tahun 2020 bakal dilengkapkan dengan modem 5G Qualcomm Snapdragon X55.

Berdasarkan dokumen yang dikatakan dihantar kepada Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa A.S. (ITC) menyatakan “model-model terbaru” Apple bakal dilancarkan di antara 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021. Dokumen berkenaan turut menyebut bahawa produk-produk Apple yang dilancarkan dari tarikh 1 Jun 2021 hingga 31 Mei 2022, akan menggunakan cipset SDX60. Manakala produk-produk dilancarkan diantara tahun 2022 dan 2024 pula masing-masing bakal menggunakan cipset SDX65 atau SDX70.

Cipset modem Qualcomm bukan satu-satunya komponen yang dipersetujui oleh Apple untuk digunakan pada produknya berdasarkan perjanjian enam-tahun berkenaan.

Disember tahun lepas, Apple mengumumkan akan memasang pengimbas cap jari ultra sonik, Qualcomm 3D Sonic Max ke dalam paparan iPhone generasi berikutnya yang kebetulan bakal dilancarkan pada lewat tahun ini.

Setakat ini, Apple masih lagi belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pelancaran produk-produknya untuk tahun 2020.

Sumber berita diperoleh dari WinFuture

Tinggalkan komentar