Apple telah mengumumkan komitmen pelaburan domestik bernilai US$100 billion (~RM422 billion) dan menghasilkan sebahagian komponen iPhone di dalam Amerika Syarikat melalui American Manufacturing Program. Langkah ini melibatkan kerjasama dengan beberapa rakan kongsi termasuk pesaingnya di pasaran telefon pintar, Samsung.
Menurut Reuters, kerjasama ini melibatkan bekalan pemprosesan yang mengoptimumkan kuasa dan prestasi produk Apple termasuk iPhone dari kilang Samsung di Austin, Texas. Laporan tersebut memetik penganalisis Kiwoom Securities yang sebelum ini menyatakan cip tersebut akan digunakan untuk sensor pengimejan siri iPhone 18.
Selain Samsung, Apple turut bekerjasama dengan pembekal cip pemprosesan lain seperti Texas Instruments, GlobalWafers, GlobalFoundries dan Amkor untuk pembungkusan.
Apple bukan satu-satunya syarikat yang mendapatkan khidmat bekalan daripada Samsung. Tesla baru-baru ini telah membuat perjanjian bernilai US$16.5 billion (~RM69.78 billion) untuk penghasilan cip Tesla A16 sehingga 2033.