Apple telah bersetuju membayar denda sebanyak US$500 juta (~RM2.13 billion) atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan iPhone model-model lama menjadi lembab. Hal ini telah menyebabkan secara tidak langsung, pengguna iPhone terpaksa membeli model terbaru atau menggantikan baterinya.
Persetujuan yang telah dicapai pada Jumaat minggu lepas pada peringkat ini masih lagi memerlukan pengesahan dari hakim mahkamah A.S. Untuk membayar ganti rugi ini, Apple diarahkan untuk membayar pengguna-penggunanya US$25 (~RM105) bagi setiap iPhone yang terlibat.
Amaun ini mungkin berubah berdasarkan bilangan iPhone yang terkesan, namun Apple masih lagi perlu membayar sekurang-kurangnya US$310 juta (~RM1.3 billion) kepada pengguna-penggunanya. Bagaimanapun, tuntutan bayaran ganti rugi ini hanya tertakluk kepada pengguna-pengguna di Amerika Syarikat sahaja.
Model-model lama iPhone yang terlibat merangkumi iPhone 6, 6 Plus, 6s, 6s Plus, 7, 7 Plus, dan SE yang menggunakan sistem operasi iOS 10.2.1 dan ke atas. Serta model iPhone 7 dan 7 Plus yang menggunakan iOS 11.2 dan ke atas sebelum 21 Disember 2017.
Sebilangan besar pengguna model-model iPhone berkenaan telah membuat aduan kepada Apple mengenai peranti milik masing-masing menjadi lembab setelah dikemaskini ke iOS 10.2.1. Pada asalnya, syarikat berpangkalan di Cupertino, A.S. ini cuba berdal ih mengatakan hal ini disebabkan oleh perubahan suhu peranti dan isu-isu lain. Namun, apabila semakin ramai pengguna yang melaporkan hal yang sama, Apple telah memohon maaf dan bersetuju untuk menjual bateri ganti pada harga US$29 (~RM121) sahaja, kurang dari asalnya iaitu US$79 (~RM332).
Sumber berita diperoleh dari Reuters, Imej dari Getty Images













