Apple pada hari ini telah mengumumkan pelancaran program baharu yang mengkhususkan pada pembaikan masalah bunyi pada iPhone 12 dan iPhone 12 Pro.
Menurut Apple, terdapat sebilangan kecil model iPhone 12 dan iPhone 12 Pro yang mengalami masalah bunyi. Ia dikatakan berpunca dari satu komponen yang gagal pada modul penerima. Model-model yang terkesan ini didapati merupakan keluaran dari Oktober 2020 hingga April 2021.
Pemilik iPhone 12 dan iPhone 12 Pro yang mengalami masalah ini dilaporkan tidak mendengar suara pemanggil. Ia berlaku ketika membuat atau menerima panggilan. Oleh itu, pemilik-pemilik berkenaan layak untuk mendapatkan perkhidmatan percuma ini.
iPhone 12 mini dan iPhone 12 Pro Max pula didapati tidak berdepan dengan masalah ini dan tiada keperluan untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.
Jika iPhone milik anda mengalami masalah tersebut, anda boleh mendapatkan temujanji untuk pembaikan di lokasi pusat khidmat pembaikan berhampiran.
Menurut Apple, program pembaikan ini akan diberikan tempoh jaminan sehingga dua tahun selepas jualan telefon berkenaan.













