Apple telah mengumumkan AirPods Generasi Ke-3 (AirPods 3) menerusi acara Unleashed awal hari ini. Rekaannya kelihatan seakan gabungan AirPods klasik dengan AirPods Pro.
AirPods baharu ini mempunyai batang yang lebih pendek berbanding keluarannya yang terdahulu. Tetapi ia lebih tebal kerana mempunyai sensor daya seperti yang terdapat pada AirPods Pro. Ia membenarkan anda melakukan kawalan secara sentuhan berdasarkan maklumbalas haptik, dan bukannya berdasarkan ketikan.
AirPods generasi ketiga ini juga menampilkan pemacu tersuai dan EQ beradaptif yang menalakan dengan lebih halus pada output audio mengikut suasana sekeliling anda pada masa nyata.
Tidak seperti AirPods sebelumnya, keluaran baharu kali ini mempunyai penarafan IPX4 bagi kerintangan air dan peluh. Namun, ia tidak bermakna anda boleh membawanya bersama-sama ketika mandi.
Sama seperti AirPods Pro dan AirPods Max, AirPods 3 menggunakan audio berkomputer untuk dynamic head tracking. Ini bermakna, earphone ini boleh digunakan bersama-sama Apple Spatial Audio yang tidak terdapat pada AirPods 2 sebelum ini.
Ia juga menampilkan Dolby Atmos dan AAC-ELD yang menurut Apple “codec pertuturan yang lebih bagus yang menawarkan kualiti suara full HD. Ia juga memberikan komunikasi yang lebih jelas dan semulajadi untuk panggilan FaceTime.”
Keluaran pada tahun ini juga didatangkan bersama-sama bekas pengecas nirwayar yang sesuai digunakan bersama-sama sistem pengecasan MagSafe.
Baterinya juga kini menerima sedikit penambahbaikan dengan dengan masa penggunaan sehingga enam jam dan 30 jam jika digunakan bersama-sama bekas pengecasnya.
AirPods 3 akan dijual pada harga USD$179 (~RM746) dan akan hadir menemui pengguna bermula pada 26 Oktober ini mengikut pasaran-pasaran yang terpilih.













