Apple baru-baru ini telah mengumumkan akan mengadakan sebuah acara pelancaran pada 15 September ini. Bertajuk ‘California Streaming’, acara pra-rakaman ini akan distrim di pelbagai platform.

Memandangkan acara ini diadakan pada bulan September, Apple dijangka akan mengumumkan iPhone generasi berikutnya dan dijangka dikenali sebagai iPhone 13.

Tidak banyak yang diketahui mengenai iPhone baharu berkenaan. Namun, terdapat pelbagai khabar angin yang mengatakan ia akan hadir dengan kadar penyegaran semula paparan yang tinggi, cipset dan kamera yang ditambah baik.

Dalam pada masa yang sama, turut dijangkakan Apple akan memperkenalkan Apple Watch versi yang diperbaharui. Pada generasi keenam yang dilancarkan pada September tahun lepas, jam tangan pintar berkenaan membawakan fungsi seperti pengesan tahap oksigen dalam darah, ECG dan sebagainya.

Seperti acara-acara yang diadakan sebelum ini, Apple juga dijangka akan memperkenalkan versi baharu sistem operasinya. Ia merangkumi iOS 15, iPadOS 15, watchOS 8 dan macOS Monterey.

Bercakap mengenai macOS, terdapat juga kemungkinan model-model Mac baharu akan diperkenalkan jika mengambil kira cipset M1 generasi berikut akan diperkenalkan tidak berapa lama lagi. Namun, pada kebiasaannya, acara Apple pada bulan September memberikan lebih tumpuan terhadap iPhone dan Apple Watch.

Acara Apple California Streaming akan distrim secara langsung di Apple.com yang boleh ditonton melalui desktop mahupun peranti mudah alih. Anda juga boleh mengikuti acara tersebut menerusi Apple TV atau apa-apa peranti yang mempunyai aplikasi Apple TV.

Tinggalkan komentar