PDRM dan SKMM telah mengumumkan orang ramai boleh menghantar maklumat pergerakan antara negeri yang akan dilakukan menerusi aplikasi Gerak Malaysia pada 5 Mei 2020. Untuk melakukannya, orang ramai perlu mengemaskini aplikasi berkenaan ke versi terkini iaitu v2.0.
Bagaimanapun, kemaskini terbaru tersebut hanya terdapat pada peranti Android dan Huawei buat masa ini.
Bagi pengguna iPhone dan iPad pula, kemaskini aplikasi Gerak Malaysia v2.0 untuk iOS akan hadir pada 7 Mei 2020, menurut laman rasmi aplikasi berkenaan.
Bergantung kepada jadual pergerakan antara negeri yang dibenarkan, jika permohonan untuk anda bergerak adalah pada tarikh 7 Mei, anda hanya perlu mengemaskini aplikasi pada peranti iOS pada tarikh tersebut. Seterusnya, memasukkan maklumat perjalanan sebelum memulakan perjalanan rentas antara negeri anda.
Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa memakai topeng muka apabila membuat perjalanan antara negeri pada minggu ini.













