Utama Komputer Apakah yang dimaksudkan dengan Sumber Terbuka?

Apakah yang dimaksudkan dengan Sumber Terbuka?

3842
0

Perisian sumber terbuka adalah sejenis perisian komputer yang mana kod sumbernya diterbitkan di bawah lesen yang membolehkan pengguna mengubah, mengkaji dan mengedarkan perisian tersebut kepada sesiapa sahaja atas apa sahaja tujuan.

Perisian yang kita gunakan sebagai pengguna biasa selalunya ia dibeli atau pun dimuat turun. Selain itu, untuk memudahkan lagi kerja, perisian berkenaan sudah pun siap dikompilkan (compiled) dan sedia untuk dipasangkan (ready-to-run).

Untuk catatan, proses meng’kompil’kan adalah proses di mana kod program sebenar atau kod sumber (source code) yang dibuat oleh pembangun (developer), perlu melalui pengkompil (compiler) untuk menterjemahkannya kepada bahasa yang boleh difahami komputer.

Mengubahsuai kod yang sudah siap dikompilkan juga adalah amat sukar. Agak mustahil untuk melihat bagaimana para pembangun perisian membina program tersebut melalui kod satu-persatu. Justeru, para pengeluar perisian komersil menggunakan kesempatan ini untuk mencegah syarikat pesaing mereka dari meniru perisian yang dihasilkan. Selain dari mampu meningkatkan kualiti produk mereka ia juga turut memberikan ciri-ciri unik perisian yang dihasilkan.

Walaubagaimanapun, perisian sumber terbuka (open source) berciri sebaliknya. Perisian yang telah siap untuk digunakan turut menyediakan bersama kod sumber. Malahan, sebarang pengubahsuaian dan penambahbaikan juga amat digalakkan.

Para pembangun perisian yang menyokong sumber terbuka ini berpegang teguh kepada konsep gotong royong dan husnuzon (bersangka baik). Mereka yakin bahawasanya, apabila membenarkan sesiapa sahaja yang berminat dengan kod sumber tersebut untuk mengubahsuai dan menambahbaik, aplikasi tersebut bakal menjadi lebih baik serta bebas ralat untuk jangka masa panjang.

Untuk menentukan sesuatu perisian tersebut sebagai sumber terbuka oleh industri pembangunan perisian, beberapa kriteria perlu dikenalpasti. Antaranya;

  • Perisian tersebut perlu diedarkan secara percuma (terdapat juga sesetengah bahagian pakej yang dijual sebagaimana yang telah dilakukan oleh Red Hat terhadap Linux).
  • Kod sumber disertakan bersama
  • Setiap individu dibenarkan untuk melakukan pengubahsuaian terhadap kod sumber.
  • Versi kod yang telah diubahsuai perlu diedarkan semula.
  • Lesen tidak boleh menjadi satu keperluan bagi perisian lain yang tidak dimasukkan bersama ATAU mengganggu operasi perisian lain.

Definisi Sumber Terbuka

Jika sesebuah program itu adalah bersumber terbuka, kod sumbernya diwajibkan untuk diakses oleh pengguna-penggunanya. Penggunanya – dan juga sesiapa sahaja – berhak untuk mengambil kod sumber tersebut, mengubahnya, dan mengedarkannya sebagai sebuah program versinya sendiri.

Pengguna berkenaan juga bebas untuk mengedarkan seberapa banyak salinan program asal tersebut. Sesiapa juga boleh menggunakan program sumber terbuka tersebut untuk sebarang tujuan; serta tiada sebarang bayaran atau sekatan yang boleh dikenakan terhadap perisian berkenaan. Inisiatif Sumber Terbuka atau Open Source Initiative (OSI) menjelaskan dengan terperinci perkara ini di dalam laman web rasminya.

Bapa Linux

Mari kita lihat contoh penggunaan sumber terbuka. Pada tahun 1991, Linus Torvalds, pada masa itu merupakan sorang pelajar di University of Helsinki, Finland, telah membangunkan sebuah sistem berasaskan Minix (salah satu pecahan dari UNIX) dan menamakannya sebagai Linux.

Torvalds menghasilkan Linux versi 0.02 ini dibawah Lesen GNU Awam Umum (GNU Public License), dimana ia menyediakan definisi perundangan yang jelas tentang perisian sumber terbuka. Orang ramai dari seluruh dunia mula memuat turun Linux dan membuat pengubahsuaian terhadapnya.

Kebanyakan dari pengguna yang memuat turun Linux ini adalah terdiri dari kalangan programmer. Tiga tahun selepas penghasilan Linux pertamanya, Torvalds menerima pelbagai jenis versi Linux yang telah diubahsuai. Beliau menggabungkan sebarang penambahbaikan yang telah dihasilkan oleh para pengguna ke dalam versi asas sehingga terhasilnya Linux versi 1.0 pada tahun 1994.

Sumber terbuka berbayar

Kebimbangan yang biasa dialami oleh para pengguna biasa perisian sumber terbuka adalah kurangnya jaminan dari pengeluar perisian dan kesukaran mendapatkan bantuan teknikal.

Disebabkan oleh lesen perisian ini menggalakkan pengubahsuaian dan penambahbaikan, khidmat bantuan teknikal yang seragam dan tersusun sukar dicapai oleh pengguna-pengguna biasa.

Hal ini menjadi antara salah satu penyebab kepada tertubuhnya Red Hat Software pada tahun 1994. Melaluinya, ‘Official Red Hat Linux‘ (Linux Red Hat Rasmi) telah dihasilkan dan membolehkannya menjual produk yang sepatutnya ‘percuma’.

Nilai utama yang ditambah oleh Red Hat ke dalam pakejnya adalah jaminan waranti dan khidmat sokongan teknikal. Bagi pengguna perusahaan, jaminan sokongan teknikal telah menjadi faktor utama mengapa mereka lebih cenderung untuk membeli Linux berbanding memuat turun versi percuma.

Selain dari Linux, terdapat beberapa syarikat yang turut menyertakan perisian tambahan di dalam produk Linux mereka untuk dijual.

Beberapa perisian popular yang digunakan oleh kebanyakan pengguna pada hari ini adalah berteraskan sumber terbuka. Android, OS X, iOS dan Chrome OS, adalah antara sistem-sistem operasi yang dibina berasaskan Linux. Tidak dilupakan juga, aplikasi-aplikasi penting yang kerap kali diketemukan seperti Mozilla (berteraskan pelayar Netscape), Apache (pelayan web), PERL (skrip bahasa web),  dan PNG (format fail grafik) adalah antara yang memanfaatkan sumber terbuka untuk kebaikan bersama umat manusia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.