Google akan melancarkan Android 12 dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang. Dalam pada masa yang sama, gergasi carian internet ini sedang mengusahakan versi berikutnya sistem operasi mudah alihnya.
Secara umum, sistem operasi berkenaan akan dikenali sebagai Android 13, namun secara dalaman di kalangan warga kerjanya akan dikenali sebagai Tiramisu.
XDA melaporkan penemuan nama tersebut telah dibuat di dalam satu commit AOSP, yang menunjukkannya sebagai “Rename T to Tiramisu”. Ia berkemungkinan akan kekal digunakan secara dalaman.
Google sebelum ini menggunakan nama manisan bagi versi Android yang dihasilkannya kepada umum. Penamaan ini tidak lagi diteruskan sejak Android 10 dilancarkan dan ia hanya dikenali sebagai Android 10 sahaja.
Pun begitu, secara dalaman versi sistem operasi berkenaan masih lagi dirujuk sebagai Quince Tart secara dalaman. Begitu juga untuk Android 11 dan 12 yang mana orang ramai mengenali melalui nombornya, tetapi masing-masing masih lagi dirujuk secara dalaman sebagai Red Velvet Cake dan Snow Cone.













