Google akhirnya telah mendedahkan nama manisan untuk Android 12 seiring dengan pelancarannya ke Android Open Source Project. Android versi terkini ini secara rasminya dikenali sebagai Snow Cone.
Penggunaan nama manisan untuk versi sistem operasi berkenaan telah ditamatkan sejak Android 10 diperkenalkan. Versi kemudiannya, Android 11 juga meneruskan penamaan berdasarkan angka.
Maklumat mengenai penamaan berdasarkan manisan ini telah diumumkan oleh Naib Presiden Bahagian Kejuruteraan Untuk Android, Dave Burke di Twitter baru-baru ini.
Penggunaan nama versi Android berdasarkan manisan masih lagi digunakan selepas Android 10, sebenarnya. Ia hanya untuk kegunaan dalaman sahaja dan tidak digunakan secara rasmi kepada orang ramai.
A cool background to celebrate the launch of Android Snow Cone!🍧 pic.twitter.com/J726PvPhVv
— Dave Burke (@davey_burke) October 4, 2021
Android 12 disasarkan akan memperkenalkan pelbagai penambahbaikan seperti pentemaan dinamik, widget yang dikemaskini, dan tetapan privasi yang dipertingkatkan.
Seperti biasa, Android 12 akan diterbitkan terlebih dahulu untuk telefon pintar Google Pixel termasuk Pixel 5a hinggalah ke siri Pixel 3. Ia akan hadir ke peranti berkenaan terlebih dahulu sebelum menemui peranti-peranti Android yang lainnya.













