Syarikat gergasi e-dagang Amazon, dilaporkan mempunyai rancangan agresif untuk mengautomasikan sebahagian besar operasinya. Pelan ini berpotensi menggantikan keperluan untuk mengambil lebih 600,000 pekerja di Amerika Syarikat menjelang tahun 2033. Maklumat ini didedahkan melalui temu bual dan dokumen dalaman tertiris yang dilaporkan oleh The New York Times.

Menurut dokumen tertiris tersebut, pasukan robotik Amazon mensasarkan untuk mengautomasikan sehingga 75% daripada keseluruhan operasi syarikat. Pelan ini dijangka dapat mengelakkan pengambilan seramai 160,000 pekerja baharu menjelang 2027 sahaja.

Inisiatif automasi ini dianggarkan mampu memberikan penjimatan kos kira-kira 30 sen bagi setiap barangan yang diproses dan dihantar, dengan jumlah penjimatan boleh mencecah $12.6 bilion antara tahun 2025 dan 2027.​

Amazon menjangkakan jualan produk akan meningkat dua kali ganda dalam tempoh yang sama sehingga 2033. Dalam pada masa yang sama, kepimpinan Amazon optimis automasi membolehkannya tidak menambah jumlah tenaga kerja manusia di A.S..​

Sebagai persediaan menghadapi kritikan dan kesan sosial akibat pengurangan peluang pekerjaan, dokumen tersebut turut mendedahkan strategi Amazon untuk menguruskan imej awamnya. Antara langkah yang dibincangkan termasuk:

  • Meningkatkan reputasi sebagai “entiti korporat yang bertanggungjawab” melalui penyertaan dalam acara komuniti tempatan seperti program kebajikan.​
  • Mengelakkan penggunaan istilah seperti “automasi” dan “AI” (Kecerdasan Buatan), sebaliknya menggunakan frasa yang lebih umum seperti “teknologi canggih (advanced technology)”.​
  • Mencadangkan penggunaan istilah “cobot” (robot kolaboratif) untuk menggambarkan robot yang bekerja bersama manusia, bagi memberi gambaran kerjasama dan bukannya penggantian.​

Dalam satu kenyataan kepada The New York Times, jurucakap Amazon menyifatkan laporan berdasarkan dokumen itu sebagai “tidak lengkap” dan tidak menggambarkan strategi pengambilan pekerja syarikat secara menyeluruh. Syarikat itu juga menafikan bahawa usaha komunitinya mempunyai kaitan dengan rancangan automasi atau mengeluarkan arahan kepada eksekutifnya untuk tidak menggunakan istilah tertentu.

Tinggalkan komentar