Alcatel datang lagi ke Malaysia dengan melancarkan produk terbarunya, Alcatel V5. Telefon pintar berkenaan merupakan salah satu telefon pintar peringkat pertengahan, namun masih lagi mampu menawarkan ciri-ciri terkini yang biasa pada sesebuah telefon pintar keluaran terbaru.
Dari segi spesifikasi, Alcatel 5V dilengkapi dengan chipset MediaTek Helio P22, RAM 3GB dan storan dalaman 32GB (menyokong kad mikro SD sehingga 128GB). Menggunakan sistem operasi Android 8.1 Oreo, telefon pintar ini juga menyediakan paparan bertakuk 6.2-inci FullView HD+ (1500 x 720p) 19:9, dengan nisbah skrin-ke-kerangka 88%. Menjanakan kuasa bagi telefon pintar ini adalah sebuah bateri yang berkapasiti 4000mAh.
Untuk kameranya pula, telefon pintar terbaru Alcatel ini menyediakan tetapan dwi-kamera (12MP+5MP) untuk kamera utamanya. Manakala kamera hadapannya pula, peranti ini menyediakan kamera dengan penderia 8MP. Melengkapi sistem kamera Alcatel 5V, foto-foto yang diambil oleh kamera telefon pintar ini diperkemas dan diperindahkan dengan menggunakan kecerdasan buatan terbina dalamnya. Apabila diaktifkan, kecerdasan buatan telefon pintar ini mampu membuat pengecaman pada 11 suasana dan subjek.
Bercerita tentang kecerdasan buatan (A.I.), Alcatel 5V merupakan di antara segelintir kecil telefon-telefon pintar yang mempunyai integrasi penuh dengan Google Lens, membolehkan pengguna mengaksesnya melalui Google Assistant atau melalui kameranya.
Alcatel 5V sudah boleh didapati di pasaran Malaysia bermula semalam dengan harga rasminya RM898. Anda boleh mendapatkan telefon pintar ini melalui wakil-wakil pengedar yang sah dan juga melalui rakan dagang atas talian Alcatel, Shopee dan 11Street. Telefon pintar ini boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Spectrum Blue dan Spectrum Black.
Layari laman rasmi Alcatel untuk maklumat lanjut.













