AKASO secara rasminya telah melancarkan kamera 360 darjah keluarannya yang pertama di Malaysia menerusi AKASO 360. Sama seperti produk-produk berkaitan kamera aksi yang lain, peranti baharu ini memberikan pengimejan bertaraf tinggi pada harga rendah.
Menampilkan bentuk lazim dengan badan bersegi empat tepat dengan dua kamera 180-darjah di hadapan dan belakangnya, AKASO 360 mempunyai skrin sesentuh menegak 2.29-inci untuk mengendalikannya.
Kamera aksi ini juga mempunyai satu slot kad mikroSD, satu butang kuasa pada sisi kanannya dan juga lubang untuk memasang tripod pada sebelah bawahnya. Menurut AKASO peranti ini “kalis semua jenis cuaca”, namun tidak menyatakan tentang penarafan IP.
Di dalamnya, setiap lensa 180 darjah pada kameranya mempunyai sensor 48MP bagi membolehkannya membuat rakaman 360 darjah beresolusi 5.7K (30fps) dan tangkapan gambar 72MP.
Turut disediakan dua mikrofon untuk rakaman audio stereo. Selain itu, AKASO 360 juga menggunakan bateri boleh-ganti proprietarinya berkapasiti 1,360mAh yang menawarkan waktu penggunaan sehingga 60 minit untuk sekali cas.![]()
Selain dari tangkapan video 360 darjah dan foto, lain-lain ciri yang disediakannya termasuklah penstabil berasaskan perisian, pengarasan ufuk, penjejakan subjek AI, dan keupayaan kayu swafoto (selfie stick) halimunan.
Fungsi tambahannya turut tersedia menerusi apliaksi AKASO 360 yang boleh dipasang pada peranti mudah alih dan desktop. Ia menawarkan sejumlah alatan suntingan dan pemprosesan pasca-produksi seperti Stats Dashboard, Smart Clip dan banyak lagi.
AKASO 360 kini boleh didapati di dalam dua set pukal – Standard dan Creator menerusi kedai dalam talian rasminya di Shopee, Lazada dan TikTok pada harga:
- AKASO 360 (Standard) – RM899
- AKASO 360 (Creator – Tiga bateri + kayu swafoto) – RM1,099












