Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan Agrobank mengalami kerugian sebanyak RM203.8 juta akibat jenayah penipuan.

Walaupun jumlah kerugian yang besar dicatatkan, pihak berkuasa memberi jaminan bahawa tiada akaun pelanggan yang terjejas dalam insiden ini .

Menurut laporan, sindiket penipuan tersebut telah memindahkan dana dari bank berkenaan menggunakan ratusan akaun keldai. Siasatan awal mendapati sehingga 718 akaun merentasi 19 institusi kewangan, termasuk bank dan penyedia e-dompet, telah digunakan untuk melarikan dana tersebut.

Susulan daripada laporan polis yang dibuat, pihak berkuasa telah menahan 47 individu yang dikaitkan dengan kes ini. Tiga daripada suspek telah didakwa di bawah Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan berkaitan akaun keldai.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun, denda antara RM10,000 hingga RM150,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurut Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, siasatan terhadap baki 44 suspek masih berjalan. Polis sedang melengkapkan kertas siasatan dengan bantuan CyberSecurity Malaysia dan Bank Negara Malaysia.

Statistik menunjukkan trend jenayah siber semakin membimbangkan di Malaysia. Dari tahun 2020 hingga 2025, sebanyak 209,300 kes penipuan dalam talian direkodkan dengan jumlah kerugian mencecah RM8 bilion. Penipuan telekomunikasi dan e-dagang merupakan antara penyumbang terbesar kepada jumlah kerugian ini.

Bagi membendung jenayah ini, kerajaan sedang meneliti pindaan undang-undang untuk memperketatkan peruntukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta undang-undang berkaitan pengubahan wang haram. Langkah ini termasuk cadangan hukuman yang lebih berat dan pelucuthakan aset bagi sindiket penipuan serta pemegang akaun keldai.

Tinggalkan komentar