Adobe membawakan aplikasi Photoshop dan Illustrator ke dalam web. Ia membolehkan anda melakukan perubahan pada dokumen yang dihoskan secara awanan tanpa perlu memuat turun dan membuka aplikasi berkenaan.
Kedua-dua aplikasi berkenaan pada web yang dilancarkan ini bukanlah versi penuh Photoshop dan Illustrator. Anda hanya dibenarkan melihat lapisan-lapisan dokumen berkenaan, meninggalkan nota dan komen.
Selain itu, anda hanya dibenarkan membuat suntingan asas melalui alatannya seperti pemadam, spot healing brush, dan selection lasso. Jika anda ingin membuat perubahan yang besar, anda masih lagi perlu membuka aplikasinya.
Anda juga perlu melanggan Creative Cloud untuk menggunakan Photoshop web tersebut yang kini boleh didapati secara beta. Illustator untuk web pula dilancarkan sebagai beta untuk jemputan sahaja dan anda boleh mendaftar bermula dari hari ini.
Fungsi ini merupakan sebahagian dari pengumuman besar dari Adobe baru-baru ini. Ia bertujuan memudahkan pengguna untuk berkolaborasi secara terus menerusi perkhidmatan Creative Cloud.
Tujuan pengenalan Photoshop dan Illustrator pada web ini juga membolehkan pengguna berkongsikan fail untuk mendapatkan ulasan perubahan seperti dari rakan, penyunting atau pelanggan.













