Adobe telah mengumumkan keputusan untuk menghentikan perisian animasi 2D, Adobe Animate, berkuat kuasa 1 Mac 2026. Langkah ini diambil selaras dengan peningkatan pelaburan syarikat tersebut dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).

Pengumuman rasmi telah dikeluarkan menerusi kemas kini di laman sokongan syarikat dan e-mel kepada pelanggan sedia ada pada hari Isnin lalu.

Keputusan ini menandakan perubahan strategi Adobe yang kini lebih menumpukan kepada produk yang mengintegrasikan teknologi AI. Animate kini dilihat tidak lagi mewakili hala tuju semasa syarikat.

Walaupun perisian tersebut akan ditamatkan, pelanggan perusahaan (enterprise) akan terus menerima sokongan teknikal sehingga 1 Mac 2029. Manakala pelanggan lain pula akan menerima sokongan sehingga Mac tahun hadapan.

Menurut bahagian Soalan Lazim (FAQ) Adobe, “Animate telah menjadi produk yang wujud selama lebih 25 tahun dan telah melayan tujuannya dengan baik untuk mencipta, memupuk, dan membangunkan ekosistem animasi.”

“Memandangkan teknologi berkembang, platform dan paradigma baharu muncul yang melayan keperluan pengguna dengan lebih baik. Menyedari perubahan ini, kami merancang untuk menghentikan sokongan Animate.” tambah kenyataan tersebut itu lagi.

Tiada perisian tunggal sebagai pengganti

Adobe juga menyatakan tiada perisian tunggal yang dapat menggantikan fungsi Animate sepenuhnya. Sebaliknya, pengguna pelan Creative Cloud Pro disarankan menggunakan aplikasi Adobe lain untuk menggantikan sebahagian fungsi tersebut:

  • Adobe After Effects: Boleh menyokong animasi bingkai kekunci (keyframe) yang kompleks menggunakan alat Puppet.
  • Adobe Express: Boleh digunakan untuk kesan animasi pada foto, video, teks, dan bentuk.

Tanda-tanda penamatan ini telah mula kelihatan apabila tiada versi 2025 dikeluarkan dan perisian tersebut tidak diberi perhatian semasa persidangan tahunan Adobe Max.

Keputusan ini telah mengundang reaksi kecewa dan marah dalam kalangan komuniti pengguna. Kebanyakannya bimbang mengenai ketiadaan alternatif yang setara. Sebahagian pengguna lagi mendesak agar perisian tersebut dijadikan sumber terbuka (open source).

Walaupun tarikh penamatan telah ditetapkan, perisian tersebut akan terus berfungsi bagi pengguna yang telah memuat turunnya.

Sebelum ini, Adobe mengenakan bayaran sebanyak RM165.24 sebulan untuk perisian tersebut, atau RM110.16 dengan komitmen 12 bulan.

Komuniti pengguna kini mula menyarankan program animasi alternatif seperti Moho Animation dan Toon Boom Harmony sebagai pengganti.

Tinggalkan komentar