Sebanyak 858 terabait (TB) data kerajaan Korea Selatan musnah selamanya selepas kebakaran pusat data kebangsaan pada 26 September lalu. Insiden itu berlaku di Pusat Data Perkhidmatan Sumber Maklumat Kebangsaan (NIRS) di Daejeon, menghapuskan dokumen kerja selama lapan tahun bagi sesetengah agensi kerajaan.
Kebakaran bermula akibat letupan bateri litium-ion semasa kerja penempatan semula bateri sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS). Api memusnahkan 96 sistem kerajaan, tetapi hanya satu sistem, G-Drive yang gagal dipulihkan.
G-Drive atau Government Drive merupakan platform perkongsian dokumen awan yang digunakan kira-kira 125,000 pegawai kerajaan pusat. Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan sebelum ini mengarahkan kakitangan menyimpan semua bahan kerja pada G-Drive dan bukan komputer peribadi pejabat.
Namun, sistem ini tidak mempunyai salinan pendua kerana “kapasitinya yang amat besar,” menurut seorang pegawai tidak dinamakan.
Kebakaran itu menyebabkan 709 sistem institusi awam dalam talian ditutup, menganggu pelbagai perkhidmatan kerajaan. Kementerian Pengurusan Personel antara agensi paling terkesan, kehilangan bahan kerja selama lapan tahun.
Sumber dari kementerian memberitahu The Chosun Daily, “Amat menakutkan apabila bahan kerja selama lapan tahun telah hilang sepenuhnya.”
Seorang pegawai kerajaan yang menguruskan pemulihan data dilaporkan meninggal dunia selepas terjun dari sebuah bangunan pada 3 Oktober. Pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada insiden itu berkait dengan tekanan kerja berikutan kebakaran.
Insiden ini mendedahkan kelemahan serius dalam perancangan pemulihan bencana dan pengurusan data peringkat kerajaan Korea Selatan. Kehilangan data yang tidak boleh diganti ini dijangka menjejaskan operasi kerajaan untuk tempoh lama.













