Android merupakan di antara sistem operasi peranti yang paling popular pada ketika ini. Sungguhpun begitu, sistem operasi ini tidak dapat lari dari kelemahannya. Antaranya adalah kekurangan dari segi menelurusi dan mengurushkan fail-fail di dalamnya secara manual seperti yang biasa pengguna lakukan pada PC Windows.
Secara default, sistem operasi Android tidak membenarkan pengguna-penggunanya untuk melakukan perubahan pada fail-fail dalamannya dan pengguna perlu log masuk sebagai ‘root’ untuk melakukannya. Hal ini agak melecehkan kerana tidak ramai pengguna yang tahu untuk melakukan ‘rooting’ dan ia juga boleh mendedahkan risiko kepada kerosakan peranti jika pengguna tersilap langkah ketika cuba melakukannya.
Bagaimanapun, jika anda sekadar ingin menelurusi sebahagian fail-fail dan meminda fail-fail aplikasi, sesetengah aplikasi pengurusan fail masih boleh menjalankannya tanpa perlu melakukan root. Berikut adalah antara aplikasi-aplikasi pengurusan fail yang anda boleh cuba:
Amaze File Manager
Aplikasi ini boleh dikatakan agak baru diperkenalkan dan secara keseluruhannya prestasinya agak baik. Ia dibangunkan secara sumber terbuka dan menumpukan pada penggunaan yang ‘ringan’ dan lancar terutama sekali untuk pengguna yang sekadar menelurusi fail-fail secara santai.
Menampilkan reka bentuk Material, perkongsian fail SMB, pengurus aplikasi terbina dalam untuk menyahpasang aplikasi, penjelajah root (root explorer) serta banyak lagi, aplikasi ini menumpukan hal yang penting tanpa perlu berlebih-lebihan.
Aplikasi ini percuma untuk dimuat turun dan turut menyertakan pembelian di dalam aplikasi sebagai pilihan tambahan.
Harga: Percuma untuk dimuat turun dengan pembelian di dalam aplikasi
Astro File Manager
Astro merupakan salah satu aplikasi pengurusan fail ‘tertua’ di Android. Sungguhpun mengalami pasang surutnya, aplikasi ini tetap menjadi antara pilihan yang terbaik.
Antara yang ditawarkan oleh aplikasi ini termasuklah sokongan kad mikroSD, sokongan storan awanan, pemampatan fail, pengurus aplikasi, dan sokongan mengekstrak fail arkib (ZIP dan RAR).
Melalui reka bentuk Material, aplikasi ini menyediakan antaramuka pengguna yang menyegarkan dan apa yang lebih baik dari itu, tiada sebarang iklan terpacul yang mengganggu.
Harga: Percuma
ASUS File Manager
Aplikasi pengurusan fail dari ASUS ini mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana ia boleh juga digunakan pada perant-peranti lain yang bukan keluaran ASUS.
ASUS File Manager menawarkan antara muka pengguna yang kemas dan ringkas bersama-sama sokongan LAN dan SMB, sokongan storan awanan, sokongan pembacaan pelbagai jenis fail, sokongan pengarkiban serta banyak lagi.
Aplikasi percuma ini bagaimanapun tidak menawarkan akses sebagai ‘root’ dan selain itu, ia juga turut memaparkan iklan-iklan di dalamnya.
Harga: Percuma
FX File Manager
FX File Manager secara perbandingannya boleh dikategorikan sebagai di antara pendatang baru, namun ini tidak menghalangnya menawarkan ciri-ciri yang biasa terdapat pada aplikasi-aplikasi pengurusan fail.
Ia menawarkan sokongan pengurusan media dan fail, sokongan berbilang tetingkap, sokongan storan rangkaian seperti FTP dan juga menyokong fail arkib berenkripsi.
Selain itu, FX File Manager turut menyediakan fungsi penyunting teks, dan juga sokongan fail arkib termasuk jenis yang jarang digunakan seperti GZIP, BZIP2, dan 7zip. Ia juga tidak memaparkan iklan serta tidak menjejak peranti pengguna dan amat sesuai bagi pengguna yang ingin beralih dari aplikasi kontroversi seperti ES File Explorer.
Harga: Percuma / RM12.99
MK Explorer
Sebuah lagi aplikasi pengurusan fail di Gedung Play, MK Explorer mengkhususkan pada penggunaan yang ringkas dan tidak merumitkan pengguna. Ia menampilkan antara muka reka bentuk Material, pengurusan fail asas (salin, tampal, padam), sokongan kad SD (untuk Lollipop 5.0 dan ke atas) dan juga akses sebagai root.
Turut disediakan sokongan untuk 20 pilihan bahasa pengguna, fungsi penyunting teks terbina dalam, galeri dan pemain muzik. Bagaimanapun, aplikasi ini sudah lama tidak dikemaskini dengan tarikh terakhirnya adalah pada tahun 2016. Aplikasi ini mungkin lebih sesuai untuk peranti-peranti lama seperti versi Lollipop atau Marshmallow.
Harga: Percuma / hingga RM20.99
Root Explorer
Aplikasi ini telah menjadi pilihan pengguna-pengguna peranti Android yang telah di’root’kan. Sungguhpun paparan antara mukanya kelihatan ketinggalan zaman, ianya kerap menerima kemaskini dari masa ke semasa.
Bagi pengguna yang telah melakukan root pada peranti, aplikasi ini menyediakan lebih kebebasan untuk pengguna melakukan pengubahsuaian. Antara fungsi yang disertakan di dalam aplikasi ini termasuklah binari XML untuk APK, fungsi mengubah pemilik fail, sokongan MD5, serta banyak lagi.
Versi percumanya dilabelkan sebagai Explorer sahaja dan terhad untuk penggunaan biasa-biasa sahaja. Fungsinya ada lebih banyak pada versi berbayarnya.
Harga: Percuma / RM16.99
Total Commander
Aplikasi Total Commander merupakan salah satu aplikasi pengurusan fail yang agak bagus prestasinya serta mendapat rating yang baik di dalam Gedung Play. Ia menawarkan segala macam fungsi yang diperlukan pada sesebuah aplikasi pengurusan fail.
Ia menyokong fungsi storan rangkaian, sokongan storan awanan, sokongan plugin, penandaan, penyunting teks dan sebagainya.
Sungguhpun rekaan antara muka yang ditawarkannya kelihatan seperti rekaan peranti era Android 2.3 Gingerbread, ianya tidak menjadi masalah besar memandangkan aplikasi ini adalah percuma sepenuhnya dan tidak memaparkan sebarang iklan. Justeru itu, tidak salah rasanya jika anda mencubanya terlebih dahulu.
Harga: Percuma
Secara keseluruhannya, aplikasi-aplikasi pengurusan fail ini penting untuk pengguna menyelenggara dan memantau saiz fail-fail di dalam peranti. Hal ini amat mustahak terutamanya bagi pengguna yang mempunyai kapasiti storan setempat yang kecil.
Diharapkan senarai aplikasi-aplikasi yang dinyatakan ini dapat membantu pengguna membuat pilihan. Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau penambahan aplikasi yang dirasakan sesuai, sila berikan komen di dalam ruangan komentar di bawah.


















