Maxis awal minggu ini telah mengumumkan kejayaan capaian kelajuan mencecah 2.96Gbps di dua lokasi tapak pengujian 5G di Subang Jaya. Pada masa yang sama pihak Maxis turut mendedahkan bagaimana kelajuan ini mampu dicapai di dalam ujian yang dijalankannya.
Menurut Maxis, pihaknya telah menjalankan dua bentuk pengujian termasuk ujian pengagregatan pembawa (carrier aggregation) radio baru 5G bagi mendapatkan kelajuan puncak bagi satu pengguna.
Menggunakan spektrum Band-C 3.5GHz, Maxis telah diberikan kebenaran oleh SKMM untuk menjalankan ujian di Subang Jaya melalui lebar jalur berfrekuensi 200MHz selama dua bulan.
Untuk perbandingan, syarikat-syarikat telekomunikasi lain di Malaysia yang menyertai pelaksanaan 5G ini disediakan dengan lebar jalur 100MHz untuk spektrum Band-C. Justeru membolehkan kelajuan muat turun tertinggi yang dapat dicapai pada 1.76Gbps.
Dalam perkembangan yang sama, Maxis turut menjalankan ujian radio baru 5G berbilang pengguna MIMO (MU-MIMO) di tapak ujiannya di Subang Jaya. Ujian ini dijalankan bagi mendapatkan bacaan kelajuan puncak selular tunggal dalam keadaan berbilang pengguna berada serentak dalam satu-satu masa.
Sumber berita diperoleh dari Soya Cincau













