Ada masanya, video-video yang ada pada komputer kita tidak dapat dimainkan pada peranti-peranti lain seperti TV atau pemain DVD. Masalah ini berkait dengan jenis format yang boleh disokong oleh peranti berkenaan dan apabila format video berkenaan tidak disokong, berkemungkinan besar video berkenaan tidak dapat dimainkan.

Oleh itu, penggunaan perisian pengubah (converter) dapat membantu anda mendapatkan format video bersesuaian dengan peranti yang ingin digunakan. Terdapat banyak perisian-perisan converter yang boleh dimuat turun secara percuma, antaranya;

Freemake Video Converter

Freemake Video ConverterAntara perisian video converter yang popular dan ia juga boleh digunakan untuk memuat turun video dari Youtube, Facebook dan lebih dari 50 buah laman perkongsian video. Selain itu, ia juga boleh mendapatkan (rip) video dari DVD.

Pilihan untuk mengeksport video yang sudah diubah formatnya juga banyak dengan mengikut tetapan peranti seperti untuk peranti Apple, Android, Xbox dan sebagainya.

Perisian ini bukanlah terlalu sempurna, namun bagi perisian yang percuma ia adalah perisian converter percuma yang paling versatil pernah ditawarkan.

Convertilla

ConvertillaConvertilla merupakan perisian converter yang ringkas dan kecil yang mengutamakan keselesaan kepenggunaan dengan menu-menu yang straight-to-the-point. Ia tidak menawarkan kefungsian lain sebagaimana perisian-perisian pengubah lain.

Namun, oleh kerana ianya ringkas, pengguna tentu sahaja berasa selesa menggunakan perisian ini untuk mengubah format video.

Kekurangan lain pada perisian ini adalah tidak boleh mengubah fail-fail video yang banyak sekali gus dan hanya boleh melakukan pengubahan format pada satu video sahaja dalam satu-satu masa.

Video to Video Converter

Video-to-Video-ConverterPerisian ini sudah tidak dikemaskini untuk tempoh lebih dari dua tahun. Perkara ini mungkin membuatkan sesetengah pengguna berasa ia tidak begitu sesuai untuk digunakan.

Namun demikian, fungsi-fungsi yang ditawarkan bersama perisian ini amat menarik untuk dicuba seperti DVD ripper yang membenarkan anda untuk memilih trek bahasa audio tertentu dan sari kata untuk video dari DVD berkenaan.

Selain itu, ia juga menawarkan fungsi yang dinamakan sebagai “Commercial Remover”, dimana ia boleh digunakan untuk membuang babak-babak tertentu di dalam video. Para ibu bapa mungkin boleh menggunakannya sebagai tapisan adegan yang tidak patut ditonton oleh anak-anak.

Any Video Converter Free

Any-Video-ConverterAntara yang paling menonjol pada perisian ini adalah antaramukanya yang menarik, di mana ia boleh diubah menjadi pemain video atau DVD burner.

Fungsi asasnya pun boleh tahan juga selain dari alatan penyuntingnya yang boleh digunakan untuk memutarkan kedudukan video, memangkas, melaraskan kecerahan, kontras dan menulis watermark.

Turut ditawarkan fungsi ekstra pada perisian ini adalah kemampuan mengimport imej ISO dari DVD.

FFmpeg

FFmpegPerisian ini merupakan perisian pemproses media yang paling unggul lengkap dengan fungsi seperti mengubah, menstrim, enkod, menyahkod, dan memainkan segala jenis media yang pernah wujud.

Cuma, ia hanya digunakan melalui command line dan ini membuatkan kebanyakan pengguna yang sudah biasa menggunakan perisian dengan antara muka tidak gemarkannya.

FFmpeg bukanlah perisian untuk noob, tapi bagi anda yang mahir menggunakannya, anda pasti kagum dengan kemampuannya memproses pelbagai jenis media.

Tinggalkan komentar