MEASAT Global Berhad (MEASAT) telah mengumumkan satelit MEASAT 3 akan ditamatkan tidak berapa lama lagi. Pengumuman ini hadir selepas masalah gangguan besar yang berlaku sejak dari 21 Jun 2021.
Menurut MEASAT, pelbagai usaha telah dilakukan merangkumi telemetri dan kawalan arahan MEASAT-3, namun satelit tersebut tidak mampu kembali beroperasi. Justeru, ia akan dikeluarkan dari orbit dalam tempoh beberapa minggu yang akan datang.
Bulan lepas, MEASAT telah berjaya melakukan migrasi perkhidmatan dari MEASAT-3 ke satelit MEASAT lain dan satelit-satelit pihak ketiga lain di rantau yang sama.
Transponder satelit berkenaan juga telah dinyahaktifkan bagi menghalang interferens dengan satelit lain. Selain MEASAT-3, MEASAT juga mempunyai satelit MEASAT-3a dan MEASAT-3b di dalam slot orbital 91.5°E.
MEASAT-3 merupakan satelit Boeing 601 yang dilancarkan pada Disember 2006. Ia dilengkapkan dengan transponder C-band dan Ku-band yang meliputi lebih dari 100 buah negara merentasi Asia, Timur Eropah, Timur Tengah dan Afrika.
Satelit berusia 15 tahun ini bersama-sama MEASAT-3a sepatutnya akan digantikan dengan satelit baharu MEASAT-3d yang dijadualkan dilancarkan pada awal 2022.
MEASAT-3d pula menggunakan satelit Airbus Eurostar E3000 dan dijangkakan akan menyediakan satelit lewahan dalam orbit pada slot 91.5°E. Selain menyedian perkhidmatan televisyen satelit, satelit baharu ini juga mampu menawarkan sambungan jalur lebar berkelajuan sehingga 100Mbps dan memancarkan kandungan video 4K dan 8K.
SKMM sebelum ini telah menyatakan masalah sambungan pada satelit ini berpunca daripada kegagalan enjin penujah. Pada awalnya, perkhidmatan mampu dipulihkan melalui penggunaan penujah sandaran. Bagaimanapun, satelit berkenaan terus hanyut ke arah barat. Pertengahan Julai, MEASAT-3 telah hanyut dari 91.5° ke 84.52°. Hari ini, penjejak satelit merekodkan satelit berkenaan telah hanyut lebih jauh lagi ke 76.06°.













