Xiaomi Mi A1 memancarkan kadar radiasi paling tinggi di dalam senarai model-model telefon pintar terkini dan ianya diikuti oleh OnePlus 5T. Laporan berkenaan dikeluarkan berdasarkan kajian oleh Pejabat Persekutuan Untuk Perlindungan Radiasi Jerman (Bundesamt für Strahlenschutz).

Sebanyak 16 model telefon pintar yang paling banyak mengeluarkan radiasi disenaraikan oleh Statista berdasarkan data yang disediakan oleh agensi kerajaan Jerman berkenaan.

Senarai tersebut turut menunjukkan Xiaomi Mi A1 memancarkan radiasi tertinggi dengan kadar serapan 1.74 watt setiap kilogram. Manakala OnePlus 5T yang berada di tangga kedua mempunyai kadar serapan 1.68 watt setiap kilogram. Mi Max 3 berada di tangga ketiga dengan kadar serapan 1.58 watt setiap kilogram.

Model-model telefon pintar Xiaomi dan OnePlus merupakan paling banyak disenaraikan dengan lapan dari 16 model telefon pintar merupakan model keluaran syarikat telefon pintar berkenaan. Bagaimanapun, senarai pengeluaran radiasi berkenaan turut menyenaraikan iPhone 7 dengan kadar serapan 1.38 watt setiap kilogram.

Statista turut menyenaraikan telefon-telefon pintar mercu sebagai antara telefon pintar yang paling banyak mengeluarkan radiasi, termasuklah Google Pixel 3 XL, Pixel 3 dan Apple iPhone 8. Samsung pula langsung tidak disenaraikan di dalam carta 16 telefon pintar paling banyak mengeluarkan radiasi berkenaan.

Secara perbandingan, Statista turut menyenaraikan telefon pintar yang paling kurang mengeluarkan radiasi. Antaranya termasuklah telefon pintar keluaran Samsung seperti Galaxy Note 8, Galaxy A8 (2018), Galaxy S8+, Galaxy S7 Edge, dan Galaxy S9+. Lain-lain model telefon pintar yang mengeluarkan radiasi terendah termasuklah ZTE Axon Elite, LG G7 ThinQ, HTC U11 Life, dan Moto G5 Plus.

Menurut Martin Armstrong dari Statista, pada masa ini tiada sebarang garis panduan universal yang menyatakan kadar radiasi telefon pintar yang selamat. Bagaimanapun, persijilan mesra alam Jerman yang dikenali sebagai ‘Bidadari Biru’ (Der Blaue Engel) hanya menyenaraikan model-model yang mengeluarkan kadar serapan radiasi kurang dari 0.60 watt setiap kilogram.

Senarai lengkap dari pangkalan data telefon-telefon pintar yang mengeluarkan radiasi ini boleh didapati menerusi laman web rasmi Pejabat Persekutuan Untuk Perlindungan Radiasi Jerman (Bundesamt für Strahlenschutz).

Sumber berita diperoleh dari Statista

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.